Kreativiti Kepengarahan Teater Patung-patung

Nobody's Daughter - Hole
Poster Teater 
Baru-baru ini saya menonton teater Patung-Patung karya Hatta Azad Khan dipentaskan semula oleh Pelajar Seni Persembahan UMK. Saya maklum bahawa skrip Hatta Azad Khan ini terutama sekali Patung-patung sering dipentaskan oleh pelajar universiti. Namun, ini merupakan pertama kali saya menontonnya. Saya pernah membaca skrip Patung-patung pada awal bahagian (kerana itu sahaja yang sempat saya telaah) apabila Widha Harimin (Selaku Pengarah) meminta saya membacanya. Saya akui Hatta menulis skripnya dengan membawa ideologi absurdisme itu melalui latar dan masa yang tidak ditentukan. Boleh jadi masa kini, masa lalu ataupun masa akan datang(Juga bukti bahawa karya ini relevan pada bila-bila masa). Stilistik absurdisme itu terkandung melalui kepengarangan Hatta dalam melanggar segala bentuk format penulisan skrip yang norma. Saya tidak ingin mengupas banyak tentang skrip. Di sini saya ingin melihat keberkesanan kepengarahan dan kreativiti pementasan yang menjadikan sebuah skrip drama ini lebih hidup.

Pertama sekali daripada sudut pakaian. Mega (yang megah wataknya) berpakaian seperti pengukir biasa. Pakaiannya yang biasa itu tidak menjadikannya rendah diri sebaliknya lebih angkuh dan bongkak dengan kuasa jari-jemarinya. Hal ini menunjukkan suatu kekerdilan watak itu tidak mungkin dapat mengawal dirinya sekiranya dia tetap sombong. Kemudian, Alang digambarkan dalam teater ini berpakaian royak-rabak dan rambutnya yang kembang (kelihatan seperti gila) namun wataknya suatu kontra kepada penampilannya kerana dia seorang yang bijak. Saya sangat tertarik apabila Alang menjerat Mega dengan puji-pujiannya kemudian menyedarkan Patung-patung untuk hidup dan bernyawa. Hairannya, Mega tidak termakan dengan pujian daripada Si Saudagar yang berpakaian seperti orang berada. Hal ini juga menjadi simbolik bahawa, orang yang berpenampilan buruk tidak semestinya bodoh, manakala orang yang berpenampilan kemas tidak semestinya bijak.

Dari sudut pakaian patung-patung, setiap patung mempunyai warna utama. Maya diberikan warna emas yang menunjukkan harga dirinya yang mahal bagi Mega. Patung I, berpakaian warna-warni menggambarkan keceriaan sesuai dengan wataknya yang sering ketawa. Seterusnya, Patung II berpakaian warna merah yang membawa emosi marahnya. Patung III memakai baju coklat menunjukkan kesedihan, sebab itu nada suaranya sering berbaur tangisan. Kemudian Patung IV memakai ungu dengan sifat ingin tahu dan kuat semangatnya. Patung V membawa sifat kenaifannya, dengan dialog-dialog seperti kanak-kanak suatu perlambangan pakaian birunya. Akhir sekali Patung VI yang menonjolkan tekanan kepada patung-patung yang lain dengan warna hitam. Pemilihan warna pakaian kepada watak ini merupakan salah satu bentuk kreativiti pereka dan pengarah dalam membentuk jalan cerita dan emosi yang berbeza kepada watak. Saya tertanya-tanya pada mulanya mengapa Patung III duduk jauh daripada patung-patung lain, gambaran pengarah untuk penyusunan itu merupakan suatu simbol bahawa kesedihan selalu diasingkan dengan emosi lain kerana ia menunjukkan kelemahan seseorang. 

Kreativiti yang disalurkan dalam menghidupkan teater ini semakin jelas dengan munculnya watak Suara mengakui dirinya sebagai ayah Mega. Suara digambarkan sebagai cahaya yang menyampaikan emosinya melalui petir dan guruh, kemudian suatu bayang-bayang yang berbentuk tangan dan jari-jemari merupakan pencitraan secara langsung kemahiran dan kekuasaan Mega itu berasal daripadanya. Permainan cahaya dan lampu pada pentas menjadikan perbualan antara Suara dan Mega tidak melemaukan kerana bunyi latar juga seiring dengan dialog-dialog yang dilafazkan. Sekiranya Suara tidak mempunyai gambaran bayang-bayang tangan itu, sudah tentulah memerlukan watak Mega berkomunikasi kepada cahaya lampu sahaja. Bukan itu sahaja, pemilihan lagu Sang Penikam(oleh Noh Salleh) ketika Patung I dan Patung V menari pada intro pengenalan watak mereka merupakan pilihan yang bijak. Lagu tersebut sesuai diselarikan dengan pencitraan kisah cinta Mega-Maya dalam teater ini. 


  • Secara keseluruhannya, saya tertarik pada bentuk suasana pentas apatah lagi karya Hatta Azad Khan itu sendiri penuh dengan kritikan terhadap autoritian (mungkin liberalisme juga). Lakonan dan cara lontaran suara boleh lagi diperbaiki supaya kelangsungan penceritaan dapat difahami. Suara yang kuat tidak semestinya mampu menyampaikan perkataan verbal dengan baik, tetapi suara yang bulat sifatnya dapat membentuk penyampaian dialog lebih efektif. Usaha pelajar UMK untuk merealisasikan teater ini bagi saya sudah berjaya mungkin boleh pula dipentaskan di tempat lain pada masa akan datang.  

Popular Posts