Realisme Dalam One, Two, Jaga.
♫Yomi-Unnskyld♫
(Sumiati-One,Two,Jaga) |
Dalam minggu ini, saya baru menonton One, Two, Jaga dalam Netflix. Selama saya kongsikan ulasan Za'im Yusoff di facebook, saya cuba menahan diri nak baca kerana menanti One,Two, Jaga tersiar. Walaupun menurut Nam Ron filem ini hanya antara yang terbaik beliau hasilkan, persoalan mengapa filem ini mendapat sambutan yang tinggi (baca: walaupun tidak mampu mencatatkan kutipan puluhan juta ringgit) adalah kerana pembawaan realisme yang terkandung di dalamnya. Tidak ada satupun watak yang sempurna beliau nukilkan dalam cerita ini. Malahan, si protagonis Hussein juga tak mampu membuat apa-apa tindakan apabila Hassan ingin meneruskan rancangannya menerima rasuah.
Realisme lain yang telah diolah adalah melalui watak Sugiman sebagai seorang pekerja Indonesia dan adiknya Sumiati. Hakikat tentang penderaan terhadap Sumiati oleh majikan Malaysia merupakan suatu kebenaran yang pahit perlu kita terima. Oleh disebabkan Sumiati bekerja di bawah ejen, dan sebagai warga Indonesia, Sumiati ditindas secara terus-menerus. Kekangan kerja dan penindasan yang dia hadapi pula tidak dapat diselesaikan kerana sikap prejudis orang Malaysia sendiri terhadap pekerja asing. Begitu juga dengan Sugiman, kesusahan yang dihadapinya membesarkan anaknya, Joko diteruskan walaupun sukar.
Joko juga merupakan sebuah watak realisme yang menggambarkan keadaan kanak-kanak stateless. keadaan sedemikian menyebabkan kanak-kanak sepertinya tidak dapat disekolahkan. Hal ini sama dengan apa yang berlaku di Sabah. Kanak-kanak seperti Joko lahir di Sabah namun kerana ibu bapa mereka bukan warganegara Malaysia, menyebabkan mereka tidak layak mendapatkan I.C. Hal ini seterusnya menyebabkan mereka sukar mendapat pendidikan yang formal di sekolah seperti anak-anak lain.
Gambaran polis korup juga merupakan salah satu bentuk realisme. Saya begitu tertarik dengan pengolahan yang kontra seperti ini. Polis sebagai watak yang selalu digambarkan baik, diterbalikkan pula sebagai watak yang jahat dan menindas. Manakala, golongan pekerja yang selalu melakukan kerja haram diterbalikkan juga menjadi watak yang menimbulkan belas kasihan. Saya teringat kepada novel Salina karya A.Samad Said. Salina sebagai seorang pelacur dikontrakan menjadi seorang watak yang baik, walaupun kerja yang dilakukannya itu selalu dianggap jahat. Perkara inilah yang mengubah perspektif penonton apabila membongkar One, Two, Jaga.
Pencitraan yang berbentuk realistik ini kemudian disusun pula melalui sudut pandang yang baharu menjadikan One, Two, Jaga berjaya mengikat jiwa kita ke dalam filem. Hakikat dan realistik kesengsaraan dalam kehidupan itulah yang dapat menimbulkan empati sekaligus simpati kepada watak. Akhir sekali, cerita ini ditutup dengan penangkapan kepala penjahat menjadikan saya agak kecewa sedikit, kerana hakikatnya tidaklah sering berakhir begitu dalam kehidupan sebenar. Namun secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan filem ini.