indra
Dokumen-dokumen yang berselerak seakan ingin mengemas dirinya sendiri. Tapi suatu kuasa ajaib tidak wujud di ruangan penuh hutan kesibukan ini. Kau yang garang memaksa tangan memasukkannya ke dalam sebuah fail biru. Hari ini ada kapal terbang untuk dikejar dan kita akan melihat masa bertatih untuk tiba ke mesyuarat esok. Bangkok bandar yang meriah dengan hon. Ia seakan sebuah lagu yang sudah lama berpasang kau yang asing muncul di tengah kebingitan dan tiba-tiba marah. Sudah tentu kau yang masalah.
Masa yang bertatih kelmarin nah sudah pun berlalu dengan pantas. Sekarang di ruangan perbincangan teks perjanjian perdagangan antarabangsa kau dikelilingi oleh manusia dari pelbagai negara. Di situ, dia. Indra memegang wajahnya, masing-masing dengan beban tekanan yang merangkul bahu sebuah undang-undang yang bersangkutan, buatan manusia, kau sekarang perlu menghadapnya. Tiada benar/salah tapi perlukah? Kulihat hujung matanya yang bergaris, mujur di tengah-tengah perbincangan terselit ketawa. Pengerusi bukan Amerika memang lebih baik. Orang-orang Asia Tenggara dah terbiasa begitu dengan adabnya.
Senyum Indra itu buat hatiku yang bergejolak daripada jetlag semalam perlahan mengabur. Semua dokumen-dokumen yang berselerak masih berselerak tapi tidak apa. Kulihat di jarinya cincin dan aku terketawa kecil. Fikiran ini memang bijak berimaginasi dan aku cepat menyelit komedi di situ.
_
Pagi sudah selesai. Aku bersedia untuk menempah Grab Bike ke hotel. Tadi awalan aku berjalan kaki saja. Tapi ini negara orang, kena culik, kena bunuh, kena curi organ itu tiba-tiba sinonim bila kau di tempat asing. Membonceng motorsikal sebenarnya mengambil masa 7 minit saja ke hotel. Sambil memegang hujung baju pemandu aku melihat masih ramai warung-warung malam yang terbuka. Mungkin ada sedang mengisi tekak dengan bir dan berbual kosong perihal kerja ditengah hari minggu. Mataku cepat menangkap Indra membuka kaki di siring jalan raya. Kot hitam dipegang kelihatan tubuhnya kurus. Sambil ia ketawa bercerita dengan kawan kerjanya barangkali. Di tengah ketawa ia menangkap mataku dan senyum.
_
Aku singgah ke kedai kopi untuk sarapan latte sebentar sebelum kerja hari ini. Kau dah boleh dapat kualiti bagus untuk secawan latte dengan lebih murah sini. Lagipun, aku bukan begitu teliti dengan rasa kopi, ia cuma satu lagi ketagihan massa dan kau minum hanya untuk mengharungi hari sunyimu. Sambil menunggu, aku keluar dari kedai, mengambil sepuntung rokok sebelum ditegur Indra. Kamu seorang saja? tanyanya. Aku mengangguk. Hai. Hai. Aku menyambut tangannya. Tinggal hotel berdekatan sini ya? Aku bantu menyalakan mancis untuknya. Ya. Dia membuka pintu kedai. Memesan satu kopi hitam. Saya Indra, katanya. Aku memperkenal diriku. Sambil menyambung masing-masing membiarkan asap memenuhi ruang cerita.
Saya mau bercerita pasal kerja lagi. Aku terketawa mendengar kenyataannya. Aku menyambung, orang bekerja untuk hidup, kita hidup untuk bekerja. Kita boleh tidak bercerita perihal kerja juga ya, katanya. Okay. Okay. Kau tau sebentuk awan yang berukuran 1 billion sukatan padu boleh menampung 1.1 juta paun berat air? Pecah ketawa Indra. Hujung matanya membentuk seperti kaki burung yang mencari rezeki mencakar tanah. Bakal bunyi itu akan menjadi zikir malam nanti. Indonesia memang Jakarta? atau daripada mana-mana negeri lain? Batam, balasnya. Kamu? Sabah. Seludupan ya? Dia tersenyum. Ya, saya fikir kalau tak kerja, tak juga peribadi, cerita sosial. Sambil aku mengangkat bahu.
Dua cawan kopi seiring dalam genggaman sambil kaki kami melangkah ke tempat mesyuarat. Bangkok menjalankan rutin hariannya di balik rentetan gerai sayur di pasar pagi, bunyi tuk-tuk dan hon lagi. Kami berjalan dengan dua langkah tak mengerti maksud momentum. Di tepi, bau daging sup babi menerobos wangi diselangi dengan segar ikan pula. Bandar ini memperkenalkan dirinya di waktu pagi. Aku memakai skirt dengan kot dubel bras dan shawl putih. Sebelum ia mengalur seperti susu ditiup angin, mataku menangkap matanya. Katanya perlahan, terasa seperti inilah rumah. Ya? balasku dan menyambung, walaupun kita asing? Matanya masih memandangku. Mungkinkah bahasa, atau wajah dan tubuh kita yang sama atau kau cuma begitu cantik? Mataku mengalih ke lampu isyarat yang sedang merah. Taukan bunyi kulintangan yang acahsembunyi bermain dengan nakalnya. Pertanyaan atau Pernyataan, kataku. Indra menelengkan kepalanya dan menunjukkan jarinya ke sebuah rumah kedai. Katanya, di bingkai tingkap, separuh daripada langsirnya terbuka kau ingin menjenguk bakinya tapi kau merasa cukup dan bahagia dengan apa yang terpapar. Itulah kamu, balasnya.
_
Kami melalui sebuah kedai rekod, masing-masing dengan cawan yang sudah kosong. Kaki kami sudah pandai mengikut rentak lagu di kedai itu dan kedinginan menyambut kami di pintu.
Comments