Cakar-cakar Fikir (4)

Sufjan Stevens - Visions Of Gideon

Sunflowers - Vincent Van Gogh (1889)

Bumi yang sedang berputar kuhentikan. Dalam masa tiga minggu ini, bulan dan matahari bertembung tanpa bertegur sapa sekalipun. Sajak ku tersiar di sini. Tesis aku juga sudah selesai semuanya. Nanti kau boleh jenguk di laman sebelah. Berpelukan dengan teman-teman di Kelantan buat kali terakhir membuatkan aku mempersoalkan kekuatan diri. Aku jadi serba sentimental. Di sana aku sudah melakukan perkara yang tak pernah kujangka dapat kulakukan. Tapi di sana juga aku masih gagal mencari diri. Mencari diri mungkin sesuatu yang takkan pernah tamat sehingga mati menyapa seperti sahabat lama. Aneh, kita jadi mesra pula sejak sekian lama tidak berjumpa. Beberapa minggu akan datang aku akan tinggal di kota pula. Kali ini mungkin memilih sepi yang baru dan jauh dari pantai. Sampai ke rumah aku jadi sesak. Aku terasa seperti memiliki terlalu banyak kebendaan, aku jadi sesat jiwa. Aku isi masa dengan tidur, dengar lagu, baca Nokturna dan Khuldi yang berhabuk dalam kotak sekian lama. Baju-baju kususun menggunung ke tengah bilik, aku lipat sehingga berpeluh. Ada lagi yang berbaki. Hampir separuh niat untuk didermakan. Pun masih banyak. Aku fikir hidup minimalis itu mudah. Sialnya. Kamar ini menjadi satu-satunya tempatku yang peribadi dan aku benci berada di dalamnya. Aku mahu selesaikan menyusun buku dan baju ini dan melukis. Entah tentang apa, tapi aku mau melukis. Aku memaki diri juga kebelakangan ini sebab tidak mula menulis lagi. Diasak pula dengan soal remeh misalnya pasal pernikahan. Aku fikir untuk sambung lagi belajar dan meneliti. Tapi aku fikir mungkin itu cuma ketamakan yang bersembunyi untuk dapat nama dan puji. Belakang badan aku sakit, aku harap akan tumbuh sepasang sayap untuk terbang dan lari. Entah ke mana. Entah dari mana. 

Popular Posts