Everything Is Your Fault - Clubfern(2019)
(i)
Bunyi reriang di luar kamar bilik mengingatkan saya pada panggilan di stesen mengarahkan umat manusia masuk segera ke dalam tren. Dua minggu lepas sebelum memutuskan hubungan, saya komen begini kepada seorang sahabat baik atas kecuaiannya,"Kalau kau kekasihku, sudah lama aku memutuskan hubungan ini kerana kecuaianmu itu, tapi kau sahabat, bukan kekasih yang perlu ditebak-tebak mencari salah, apapun dirimu aku kena tahan dan terima." Mungkin tanpa saya sedari, kata-kata ini menjadi makanan pikiran ketika menunggu kedatangan tren, bahwa sememangnya, saya tidak ingin bercinta. Ia terlalu memenatkan bukan sahaja pada saya, tapi pada kekasih kerna bertahan pada ketoksikan saya.
(ii)
Saya selalu berpegang pada kata-kata Perancis "N'oublie Pas De T'aimer" iaitu jangan sesekali lupa untuk mencintai diri sendiri. Kenapa seseorang itu sering berpegang pada kata-kata yang sukar ia penuhi? Adakala saya membayangkan dari kamar tingkat 3, berapa banyak darah akan tumpah tika tubuh hinggap ke aspal di bawah? Ataupun yang lebih menakutkan sentiasa jatuh ke lohong tanpa sampai ke dasar... Sewaktu Chairil Anwar menulis "Aku mengembara seperti Ahasveros, dikutuk-sumpahi Eros", inikah maksudnya? Disumpah menjadi pengembara yang merantau ke hati kekasih-kekasih, melubangkan jantungnya, mencalar egonya kemudian dihalau dari rumah sendiri dan dikutuk oleh Eros kerna tak setia dan tak pandai menjaga cinta. Atas dosa-dosanya itu Chairil akhirnya "Mampus dikoyak-koyak sepi!"
(iii)
Seminggu lepas saya berada di Sabah, kerana sudah terlalu biasa pulang-pergi, saya semakin keliru rumah hakiki di mana. Walaupun saya cuba melayani sedih dengan mendengar semula Drake- Passionfruit, saya gagal mencari titik persamaan pada situasi yang dihadapi kerana saya telah melalui fasa 'falling apart' sebaliknya kini tinggal 'apart'. Ketika menulis catatan ini, saya berada di kampung halaman Chairil Anwar, Sumatera Barat, berhadapan Danau Maninjau tempat tinggal Buya Hamka. Perjalanan ini dipenuhi dengan usaha saya menikung sebanyak kebahagiaan yang ada, hatta pada kecilnya nikmat dari pohon yang nakal ditiup angin dan danau yang manja airnya. Malangnya, tubuh tak menyebelahi saya, kerna sakit di batin ini disembunyi pada bicara dan laku, sakit fizikal menyerang saya seolah-olah menyindir bahwa saya takkan dapat lari daripada derita.
|
Comments