Ribs - Lorde: Sebuah Senandung Kemudaan

@Aykut Aydogdu
Senandung Lorde dalam Ribs agak lambat tiba walau setelah tiba. Saya mendengar album Pure Heroine selepas saya membongkar Melodrama dan ia agak melucukan. Walaupun fasa antara satu album ke album lain agak panjang, saya tetap terlambat. Setelah mendengar muse Ribs, saya boleh katakan bahwa saya agak bodoh kerana tidak khatam Pure Heroine dahulu. Lagu ini dimulakan dengan beat yang kecil kemudian membesar dan mengejar. Bayangkan sebuah perjalanan panjang dalam sebuah terowong, kita menuju ke sesuatu yang tak pasti, tapi kita pasti adanya akhir, kita gentar tentang akhir, tapi kita masih perlu hadapi. Sebelum sempat ia menangkap kita, suara Lorde yang dalam menghilangkan debaran. 

the drink you spilt all over me
'Lover's Spit' left on repeat
my mom and dad let me stay home
it drives you crazy, getting old

Ironi sekali liriknya menyentuh tentang lagu Broken Social Scene 'Lover's Spit' yang mengkritik kenaifan orang muda hanyut dengan air liur kekasih. Seolah-olah Lorde mengkritik bahwa biar kali ini aku muda, menjadi tua sangat serabut. Ibu dan ayah suruh duduk kat rumah, aku nak berparti, aku muda, biarpun tumpah air-air ini, biarkan. Biarkan. Biarkan. Adakala menjadi kerungsingan orang muda untuk menjadi tua. Saya bayangkan seperti ini, sebuah bangunan yang memakai baju kelabu, masih baharu tapi tak berpenghuni, bangunan itu ingin mengajak orang-orang dari pelbagai wilayah tinggal di dalamnya supaya boleh mencuri-curi dengar pengalaman serantau. Menjadi muda tak mengapa, salah sekalipun ada alasan, tak mengapa yang nakal-nakal cuma jiwa kemudaanmu.

we can talk it so good
we can make it so divine
we can talk it good
how you wish it would be all the time


Sebab itu lirik seterusnya memujuk bahwa semuanya akan baik. Begitu mudah menjadi muda, semua boleh kauramal. Kau berharap perkara-perkara remeh ini akan berlalu seperti tak ada apa akan berlaku. Adakah sungguh kemudaan itu tidak kompleks?


this dream isn't feeling sweet
we're reeling through the midnight streets
and I've never felt more alone
it feels so scary, getting old


Impian kita ketika masih naif bukanlah seindah yang disangka. Kita keliru dan risau pada masa akan datang. Melihat orang dewasa sangat menakutkan kita. Kita dan kawan-kawan lain berpelesiran di jalanan tengah malam, beramai-ramai dan masih dikabung kesunyian. Kenyataan Lorde ini merupakan hakikat yang saya alami. Adakalanya saya ingin memutuskan semua hubungan dengan kawan-kawan dan menjadi dewasa yang sunyi. Tapi tidak semudah itu, saya teringat pada baris puisi Pablo Neruda bahawa "cinta itu pendek, terlupa itu pula begitu panjang", saya berjanji akan menentangnya. Kesunyian juga ada ketika duduk bercerita dengan kawan-kawan di warung. Kesunyian juga ada ketika minum kopi di ruang tamu rumah. Kesunyian masih meraksi ketika ketawa menonton filem di pawagam. 


I want 'em back
the minds we had
how all the thoughts 
moves 'round our heads


Bahagian ini disisipi perulangan oleh Lorde. Dia mengatakan keinginannya untuk mendapatkan kembali fikiran yang lepas. Mungkin maksudnya waktu, ataupun ketidaktahuan. Kemudian, Lorde mempersoalkan mengapakah semua benda-benda ini menerawang di kepala kita? Tidak hairanlah lirik ini diulang beberapa kali kerana ia suatu pertanyaan abadi ketika muda. Lorde menghasilkan album ini pada umur 16 tahun, satu fasa persoalan-persoalan ini menjadi sajian harian. Baris yang terkemudian merupakan kegemaran saya.


you're the only friend I need
sharing beds like little kids
we're laugh until our ribs get tough
but that will never be enough

Saya sangat percaya bahwa hidup berseorangan tanpa ada sesiapa sukar untuk dilakukan. Adakalanya seperti yang lain kita cuma ingin berkongsi katil, ketawa dan masih merasakan tidak cukup dengannya. Walaupun dalam pencarian ini saya tidak sampai ke tempat yang dituju tetapi saya tetap menuju, bukan? Lorde tentunya merupakan seorang penyair sebelum menjadi penyanyi. Bakat lirikalnya bukanlah sesuatu yang enteng. Saya akan sentiasa menikmati lagu ini, seperti lagu-lagunya yang lain.


Comments

Popular Posts