Adakah Membaca itu 'cool'?

Mouni Feddag


Saya tidak pasti samaada adil mahupun tidak untuk saya katakan bahawa membaca adalah satu budaya yang nampak ‘cool’ dan ‘trending’ pada masa kini. Apalagi buat millennials. Saya ada terjumpa artikel tentang kajian secara purata rakyat Malaysia membaca 15 hingga 20 buku setahun. Maknanya walaupun membaca mungkin nampak seperti ‘trending’ ia tidaklah lagi mencapai satu tahap pop culture. Saya sendiri tak berani mengakui bahawa saya seorang ulat buku. Tapi saya memang seorang pembaca.

Budaya membaca bagi saya, bukanlah sesuatu yang boleh timbul secara tiba-tiba. Ia perlu dipupuk mungkin daripada kecil, ataupun ketika di bangku sekolah. Seingat saya, saya mula membaca apabila saya mula mengenal huruf. Saya agak lambat celik huruf mungkin kerana saya selalu keliru bentuk huruf seperti b dan d, ataupun m atau n. Cuma bezanya, kerana dibesarkan dengan cerita Sang Kancil dan Buaya oleh abah secara lisan sebelum saya tadika lagi, ketika masuk ke sekolah saya jadi teruja masuk ke pusat sumber mengaut cerita-cerita fiksyen pada buku-bukunya. Malah seingat saya, saya pernah memenangi anugerah Nilam ketika darjah dua (atau tiga). Kalau ditanya pada ketika itu, saya tentu berani mengaku diri saya sebagai ulat buku!

Saya merasakan zaman kegemilangan saya membaca buku berlaku daripada sekolah rendah sehingga ke tingkatan 4. Selepas itu, saya mula semakin lambat membaca. Maksud saya sebagai zaman kegemilangan itu, saya boleh membaca 10-15 buku dalam sebulan. Pada ketika itu, bacaan saya adalah buku fiksyen Bahasa Melayu dan Inggeris, spesifiknya buku novel picisan dan chick-lit. Membaca buku Bahasa Inggeris pula bermula dengan buku ringan untuk teens (sebab ketika itu, saya ingin menguasai Bahasa Inggeris). Kemudian, saya mula membaca buku yang lebih berat non-fiksyen yang bercerita tentang ideologi, politik dan semasa. Ketika itu, saya baru mula membaca puisi dalam kelas sastera dan jatuh cinta padanya sehingga kini.

Saya akui, salah satu sebab saya memilih sastera sebagai bidang utama di universiti disebabkan minat saya terhadap membaca. Tapi, ironinya, saya menjadi orang yang paling malas membaca ketika di universiti. Ia sangat melucukan apalagi, saya memerlukan bacaan yang lebih luas ketika menceburi bidang sastera. Ketika itu saya merasa lemau dan lunyai menghabiskan bacaan bagi sebuah buku. Tapi ada satu genre yang tak pernah saya henti baca; puisi. Bagi saya puisi adalah entiti yang menyelamatkan saya daripada berhenti membaca. Saya mula berjinak semula dengan buku–buku genre lain dua tahun kebelakangan ini. Walaupun saya semakin lambat membaca, hairannya saya menjadi semakin banyak membeli buku. Dengan alasan, nanti akan ada masa untuk baca, kena beli sekarang, lain kali boleh selak. Saya boleh katakan saya sudah habiskan wang hampir beribu untuk membeli buku.

Saya merasakan usaha Kementerian Pendidikan untuk menjadikan tempoh sepuluh tahun Malaysia sebagai Dekad Membaca Kebangsaan adalah untuk merayakan kemenangan gelaran Kuala Lumpur sebagai “Ibu Kota Buku Dunia 2020” oleh UNESCO. Bagi saya, kajian Picodi mengatakan rakyat Malaysia mendapat tempat ke 6 sebagai pembeli buku terbanyak di dunia tidak menjanjikan bahawa rakyat Malaysia membudayakan sikap membaca. Sebab itu, kerajaan menggesa rakyat untuk berkongsi #malaysiamembaca di laman media sosial. Jadilah membaca seperti saya katakan tadi sebagai sesuatu yang ‘cool’ dan ‘trending’.

Walaupun saya merasa sedih kerana sudah tidak membaca terlalu banyak buku dalam sebulan mahupun setahun sekalipun. Saya berpandangan bahawa kualiti bacaan saya lebih meningkat sekarang berbanding dahulu. Misalnya, dahulu saya hanya membaca tapi tidak menulis. Tapi sekarang, setiap kali saya membaca satu-satu buku, saya akan menulis walaupun sedikit ulasan, idea dan pengisian bacaan saya. Saya akui membaca lebih banyak buku sangat bagus, tapi bagi saya tanggungjawab kita bukanlah hanya setakat membaca sahaja. Kita harus berfikir, menyusun pendirian, mencampur-tolak idea daripada satu buku ke buku lain, menghibrid pandangan, membeza-banding, mengupas makna dan tentu sekali berdiskusi.

Adakah kuat membaca bermaksud kita lebih bijak daripada orang lain? Mungkin ya dan mungkin tidak. Kita perlu melihat dengan lebih mendalam, tentang kualiti buku yang dibaca, adakah buku tersebut menimbulkan pemikiran kritikal bukan hanya bernaung pada isu picisan tapi tentulah sekali lebih mendasar. Saya tertarik pada kata-kata John Locke bahwa, membaca boleh mencantikkan minda dengan kebendaan ilmu tetapi dengan berfikirlah kita boleh memahami dan mencerna minda kita. Namun begitu, saya tidak ingin bersikap prejudis kepada orang yang membaca buku fun dan ringan, bagi saya itu adalah usaha yang baik sekiranya kita ingin membudayakan membaca. Saya fikir, kita memerlukan hal-hal ringan dan berat dalam bacaan untuk menyeimbangkan pemikiran kita.

Terdapat satu cadangan tentang membaca yang mungkin boleh Malaysia capai dalam 20 tahun ini, iaitu untuk membangun satu bandar/kota ilmu. Cadangan membangun bandar ilmu bagi saya merupakan cadangan idealistik memerlukan kerja keras daripada kerajaan dan masyarakat. Saya tertarik dengan tulisan Ahmad Mohamad Said bertajuk, “Merealisasikan Madinat Al-‘Ilm (Bandar/Kota Ilmu)”. Tulisan ini diterbit oleh Kolej Dar Al-Hikmah dalam buku Pembudayaan Ilmu pada tahun 2009 (sepuluh tahun lepas). Konsep Bandar Ilmu secara fizikalitinya iaitu membangunkan teknologi, kemudahan, infrastruktur yang berasaskan ilmu. Hal ini bertujuan untuk menggiatkan interaksi ilmu, meluaskan jaringan di antara sekolah dan universiti. Secara psikologinya, Bandar Ilmu menggagaskan idea ke arah mewujudkan komuniti yang pro-ilmu, pro-membaca seolah-olah ketika zaman Yunani dengan perkembangan kota Athens, ketika pemerintahan kerajaan Abbasiyyah di Banghdad ataupun zaman Pencerahan (Enlightment).

Ahmad Mohamad Said dalam tulisannya ini telah mencadangkan Bangi sebagai Bandar Ilmu. Menurutnya, Bangi sebagai Bandar ilmu merupakan cadangan yang wajar kerana telahpun wujud banyak dan pelbagai prasarana asas dalam bentuk institusi-institusi ilmu – pendidikan, penyelidikan dan latihan – di Bangi sendiri dan di kawasan-kawasan persekitarannya meliputi Kajang, Semenyih, Serdang, Sungai Besi, Bukit Jalil, Cyberjaya dan Nilai. Cadangan ini dikemukakan pada 10 tahun lepas! Kebetulan pula, saya sendiri menjadi warga Bangi selama empat bulan ini beranggapan bahawa cadangan beliau ini wajar dan boleh direalisasikan. Dengan tambahan beberapa entiti penerbitan lain seperti Kafe Buku Oakheart, Jejak Tarbiah dan Dubook Store di Bandar Baru Bangi. Mungkinkah boleh kita berjaya mencapai idea ini?

Membaca adalah satu hal, membina Bandar Ilmu satu hal yang lebih besar. Bagi saya, Bandar Ilmu boleh dibangunkan apabila kita dapat merapatkan jurang di antara kaum elitis akademik dan masyarakat iaitu dengan mengemukakan ilmu pengetahuan yang lebih membumi dan lebih mudah diserap masyarakat. Bagi saya untuk menembusi budaya ilmu dan membaca kepada millennials lebih mudah berbanding kepada golongan marhaen lain seperti orang tua-tua di kampung. Tapi tidak mustahil juga ia menjadi sebaliknya.

Comments

Popular Posts