Cakar-cakar Fikir (9)
Malam dan siang cuma seperti putaran syiling yang berwajah dua. 4 bulan terlalu panjang juga terlalu pendek buat saya. Kawan-kawan sudah mengemas barang dan pergi. Berseorangan di bilik sangat menyeronokkan. Saya tidak lagi merungut dengan kebisingan. Sebenarnya, saya tidak terlalu membenci kebisingan. Tapi yang sangat saya benci ialah, bunyi berulang. Bunyi dengkur radu kawan saya selalu membuatkan saya terjaga dan tidak dapat tidur semula. Selalunya dalam keadaan menutup mata, saya menggeram supaya kawan saya berhenti berdengkur dan tiap kali juga gagal. Waktu dinihari pula, saya sering terganggu dengan bunyi gagak di luar rumah, kalau tidak ngiau kucing yang ulang, ulang, ulang, ulang, ulang. Mungkin saya hanya membenci statik dan kebosanan.
Setelah ditinggalkan berseorangan di bilik ini, saya harap saya boleh tidur nyenyak. Saya harap mimpi singgah walau sekejap. Tapi sekarang, mata seolah enggan menutup dan saya seolah enggan bermimpi. Berseorangan di bilik ini, sekurang-kurangnya saya boleh merokok tanpa perlu ke taman. Boleh saya habisi sisa-sisa nikotin sebelum menghadap orang-orang. Berseorangan juga bererti saya tidak perlu memakai baju. Cukup bra dan seluar dalam, dan saya boleh kurangkan belanja dobi minggu ini. Saya fikir, paling tidak, saya boleh menyanyi lagu, menjerit, tanpa dimarahi sesiapapun. Saya boleh mencakar-cakar skrin fon 10 jam berterusan tanpa ditarikbangun oleh kawan saya. Begitulah nikmatnya berseorangan.
Dalam masa 4 bulan, saya telah putus cinta. Saya putuskan hubungan sebab saya dah ada orang lain (iaitu diri saya sendiri). Kawan saya mengetawakan saya kerana tak boleh bertahan dalam hubungan cinta. Katanya, itu semua kerana saya terlalu cepat bosan pada hal-hal picisan. 1/4 dalam diri saya seolah bersetuju dengan kenyataannya. Sebenarnya saya merasakan bahwa diri saya sudah terlalu biasa berseorangan sehingga saya tak berani membiarkan helai-helai tubuh ini diselakbaca oleh orang lain. Bekas kekasih saya sekalipun gagal menebak perasaan dan keinginan saya. Saya mungkin seperti filem experimental atau seni avant-garde yang tentu sekali bukan untuk difahami. Atau paling tidak pemahaman boleh ditebaktebak namun tanpa sekali dihidangkan jawapan.
Saya tak pernah beranggapan perhubungan sesingkat 8 bulan itu sebagai sesuatu yang tidak penting. Bagi saya cinta bukan sama sekali hal picisan. Mungkin saya belum cukup beruntung tentang hal ini. Sebelum meninggalkan kota ini, saya ingin menulis puisi, paling tidak tentang Bangi. Tempat yang saya huni dan terjatuh hati pada. Tapi saya tak dapat memikirkan kata-kata "selamat tinggal" atau "jumpa lagi" buatnya. Jadi saya hanya meniru sajak Maya Angelou:
terjaga di Bangi*
tekad langsir bertelagah
menentang angin
kanak-kanak tidur,
saling tukar mimpi dengan
serafim. kota ini
mengheret dirinya bangun pada
talitali tren; dan
aku, penggera, terjaga sebagai
khabar angin perang,
baring nelentang hingga subuh
tak ditanya & tak dipeduli.
Saya ingin pulang tapi tak tau ke mana atau pada siapa. Rumah terakhir yang saya singgah rumah Tuhan. Tapi Tuhan rupanya sedang bersiar-siar ke tempat lain. Mungkin Tuhan enggan menemui saya. Beberapa jam lagi saya ingin memaksa mata untuk lelap paling tidak kali terakhir saya ingin mencuba nasib bermimpi di Bangi. Lampu akan tutup yang bernyala hanya dari puntung terakhir rokok ini. Orang lain mengucapkan "Selamat Siang!" dan saya mencakar skrin fon semula.
______
*Awaking In New York - Maya Angelou
Comments