Wahyu
AMARAN: TULISAN DI BAWAH AKAN ATAU MUNGKIN MEMBUATKAN ANDA TRIGGERED, IA SEBENARNYA SATU BENTUK SELF-DISS SEBELUM SAMPAI KE TEMPAT ANDA. BACA DENGAN RISIKO SENDIRI.
Aku sedang mencakar-cakar skrin fon tika mendengar bunyi ketukan di pintu. Kubuka, seseorang berada di hadapanku, sedang memegang payung dengan baju hujannya yang basah lalu tersenyum. Sudah tidak hujan tapi tanpa prejudis, aku benarkan dia masuk ke ruang tamu & duduk sambil menunggu aku menyediakan secawan kopi O Tenom panas. Seperti permintaannya, aku letakkan separuh sudu gula dan tika itulah dia mengaku bahwa dirinya sebagai Tuhan.
Bagi aku sudah terlalu ramai orang mengaku bahwa dirinya Tuhan, dewa dan apaapa saja yang minta disembahpuja. Yang manakah satu dia? Katanya dia Tuhan Puisi semacam dewa yang mewahyukan mukjizat tentang sajak. (Macam dbp kot)
Aku kagum sedikit. Tuhan Puisi mencicip bibir cawan. Aku bercerita bahwa takpernah lagi aku dilawat Tuhan. Segala-gala Tuhan yang ada di sini sudah lama merajuk denganku. Sebab akulah yang sering derhaka dan ingkar dengan perintahnya. Tuhan Puisi ketawa dan memberitahu padaku, tak pernah sekali Tuhan meninggalkan hambanya. Tuhan tidak seegois manusia.
Aku hanya mengangguk, malas menjawab. Katanya itu juga salah satu tanda egoisme. Aku menge-cis dalam hati tapi muka rilek macam aku tak terasa langsung dengan kata-kata dia. Aku tanya dia, apahal dia datang sini. Dengan nada berjenaka, aku menambah, adakah aku ni salah satu nabi yang dia akan kurniakan mukjizat/wahyu?
Dia mengangguk. Hampir aku terkencing sedikit konon terkejut dengan pengakuannya. Aku tibatiba meragui kebenaran kenyataannya itu. Aku tanya soalan kritis, kalau betul kau Tuhan, kenapa kau yang hantar wahyu, kenapa bukan malaikat sebagai perantara? Wajahnya berubah suram. Balasnya dia tak mampu nak tampung malaikat, jadi dia kena kerja sendiri, macam freelance la lebih kurang.
Aku dengan sinis menjawab, kau ni Tuhan Puisi tapi perumpamaan kau pun tak betul sangat. Mukanya merah padam menahan marah. Katanya, aku nakkah tidak dengar wahyu dia bagi ni? Dia ugut kalau tak dia bagi kat orang lain. Aku hanya mengiyakan sebab aku pun tertanya apa wahyu tu, mukjizat sangat ke tak.
Tuhan Puisi menyampaikan wahyu lalu berfirman: Kami ingin berpesan kepada penyair lelaki dan wanita dengan pesanan yang berbeza mengikut kesesuaian jantina...
Aku menyampuk, mengapa perlu ikut jantina? Tuhan Puisi buat muka selenge macam nak fed-up layan soalan aku. Lalu dia jawab, benda ni penting berdasarkan gender sebab lelaki dan perempuan penyair buat kesalahan berulang dalam sajak-sajak mereka. Aku angguk dan bertanya apa jantina Tuhan Puisi. "gender-fluid" balasnya.
Dia menyambung firman:
Bagi penyair wanita ingatlah bahawa, (1) tulislah sajak selain sajak cinta & nikah & perempuan. (2) janganlah dengki dengan penyair wanita lain. (3) janganlah pula menyokong penyair wanita membabibuta hanya kerana dia wanita. (4) berhentilah melabelkan diri kau sebagai wanita, sebaliknya sebagai manusia tapi biarkan kelebihan tubuhmu menulis sajak tanpa klaim-klaim keperempuanan. (5) jangan biarkan sesiapa menghalang kau marah, mencarut, kuat dan mengatakan kau harus lembut dalam sajakmu, kau manusia bukan kuih semperit. (6) tapi atas dasar itu kau juga boleh bersajak dengan lembut kalau kau mau, suka merah jambu kalau kau mau, pakai mekap kalau kau mau, rambut tocang kalau kau mau.
Aku mendengar teliti firmannya sambil menocang rambutku. Kemudian dia sambung lagi...
Bagi penyair lelaki ingatlah bahawa: (1) tulislah sajak selain sajak perempuan & tubuh perempuan & alam perempuan. (2) janganlah dengki dengan penyair wanita dengan menindasnya. (3) janganlah tidak menyokong penyair wanita yang menulis dengan baik hanya kerana dia wanita. (4) berhentilah berbangga dengan pen-is masing-masing, apa guna simbah airputih pada kertas putih dan tak nampak apa-apa? (5) jangan biarkan sesiapa menghalangmu menulis sajak kesedihan, kerinduan, merah jambu, ketidak-carutan, kelembutan, kerendahan hati dan kelemahan diri, kau manusia bukan biskut lutut. (6) tapi atas dasar itu juga kau boleh menulis dengan maskulin (non-toksik) kalau kau mau, kau boleh tegap kalau kau mau (bukan sado-itu merendahkan), memimpin kalau kau mau, pakai pomade kalau kau mau, berjambang kalau kau mau.
Setelah selesai, Tuhan Puisi menghabiskan kopinya. Aku menghantarnya ke pintu. Jadi tulisan ini merupakan satu bentuk dakwah yang telah dipertanggungjawabkan olehnya. Aku sebagai nabi menyeru umat penyair daripada perempuan-perempuan dan lelaki-lelaki bahwa sesungguhnya Tuhan Puisi tidak membeza-bezakanmu kecuali dengan ketakwaan.
Namun, aku pula sebagai penderhaka ingin menyampaikan bahawa: tulislah apa yang kau mau tulis sebagaimana yang ingin dipertuliskan. Kalau tak sedap tahanlah dikecam. Frog it!
Comments