Alergi & Diri



Kerisauan saya bertambah setelah sampai ke negeri sendiri. Saya ingin pulang. Tak tau ke mana (KL mungkin). Tapi setelah saya membayangkan masuk ke dalam tren, dan orangorang berubah menjadi ikan sardin berebut keluar daripada tin, saya menjadi semakin jelas. Kerisauan ini timbul kerana saya belum bertemu dengan diri sendiri.

Mengenal diri sendiri sebenarnya sesuatu yang merunsingkan. Adakah diri sendiri itu sesuatu yang kita ingin jadi ataupun pernah jadi ataupun bakal jadi tanpa kawalan sendiri? Mungkin ia pencarian yang berterusan tanpa henti sehingga mati. Seperti bahagia, tiada titik akhir kecuali sebuah perjalanan. Selepas satu kepuasan, satu lagi. 

Tubuh saya secara fizikal juga tidak menyebelahi saya. Beberapa tahun ini, saya gemar berenang di sungai atau kolam. Setelah itu selain sakit kepala, tahun lepas saya dapati saya alergik pula pada air sungai. Sangat melucukan untuk menyatakan ia sedemikian tapi saya telah cuba mandi di beberapa sungai. Setiap itu juga menyebabkan badan saya menjadi merah dan gatal. 

Alergi pada air sebenarnya penyakit langka yang disebutkan sebagai urticaria aquagenic. Alergi kepada air sungai secara spesifik? Tak pastilah apa namanya. Rawatan alergi ini mudah, saya hanya perlu mengeringkan badan saya, dan semua gatal dan merah tiada lagi. Jadi, mungkin bulan depan saya ingin mengajak keluarga untuk mandi di sungai. Manalah tau seperti ia datang secara tiba-tiba ia akan lenyap juga sedemikian.

Mungkin dengan alergi dan pencarian diri saya boleh menulis sebuah puisi, oda kepada alergi dan diri. Mungkin berbunyi begini:

Kau merahkan tubuhku
Supaya kutau warnanya apa
Kau memenjara rasa
Kerana kau tau tentang derita


Hmm. Mungkin tidak. 
Pagi sudah tiba untuk hari ini. Saya rasa semakin gagal untuk mengejar sesuatu tak pasti. Satu-satunya menenangkan saya adalah sebuah kata-kata saya terima berbentuk doa dan harapan daripada seorang kawan.

Comments

Popular Posts