Udang
"Dunia ini merupakan komedi kepada mereka yang berfikir, tragedi kepada mereka yang berasa"
Hari ini atau lebih tepat malam ini, saya tulis satu posting memohon rekomendasi lagu di laman twitter. Sesuatu yang jarang saya lakukan. Saya sebenarnya sukar untuk menerima rekomendasi apa-apa tentang seni, lagu, filem atau buku sekalipun. Mungkin kerana saya percaya bahwa tak ada sesiapa yang boleh menentukan minat saya tentang satusatu hal. Atau tak ada sesiapa boleh mempengaruhinya walau sedikit. Atau saya selalu enggan mengecewakan orang lain apabila mendapat tahu bahwa minat kami berbeza. Tapi malam ini hanya untuk malam ini saya sedang mendengar sebuah playlist spotify daripada seorang kawan yang dikongsi dalam medsos atas permintaan saya. Jadi, kerana saya hargai rekomendasi itu saya ingin menulis tentangnya paling tidak pada mukadimah tulisan ini.
Baru tadi saya menonton Lucy bercakap sesuatu tentang eksistensialisme. Katanya, semua akan melalui fasa tersebut dalam hidupnya. Ada pula satu buahfikir timbul bahwa saya anggap eksistensialisme bukanlah sesuatu fasa sebaliknya satu perjalanan berterusan untuk selalu mencari jawapan/persoalan dalam diri. Sebulan yang lalu, kerana diserang kerisauan yang berterusan tentang pekerjaan, penulisan dan halhal universiti saya hampir menjadi gila. Sudah tentu kerisauan ini sering membuatkan saya menangis. Menangis itu semacam satu rutin bulanan yang saya hadapi. Saya tahu, walau tanpa kerisauan-kerisauan itupun saya tetap menangis kerana menghadapi kerisauan lain pula. Itu cuma sebuah alasan yang mungkin akan membuatkan saya rasa lebih normal. Dan kerana semua orang menghadapi fasa eksistensialisme itu, betapa menyedihkan untuk maklum bahwa saya bukan keseorangan. Betapa fucked up-nya persoalan sebegini dan bagaimana ia begitu mengganggu kita.
Malam itu kerana teringat tentang sebuah lagu superorganism, saya benar-benar mengatupkan tangan saya dan berdoa. "Ya Tuhan, kali ini, jadikanlah aku seekor udang. Cuma sebulan sahaja. Hilangkan kerisauan ini dan jadikanlah aku seekor udang yang bebas daripada semua ini." Badan saya memang hangat daripada tengahari dan kebetulan saya berpuasa. Saya pula baru pulang daripada perpustakaan daerah menyiapkan kerjakerja penulisan haram. Saya fikir saya mungkin demam kerana perubahan cuaca panas di luar kemudian sejuk teramat di dalam bangunan. Setelah berdoa sedemikian, saya memaksa mata untuk tidur dan seperti kebiasaannya setelah pukul 1 pagi barulah saya berjaya untuk tidur. Dalam pukul 3 pagi, saya bangun. Pandangan saya kabur tapi luas. Saya boleh melihat meja belajar di sebelah kiri dan dinding di sebelah kanan. Badan saya semacam semakin panas. Dada saya turunnaik cuba menghirup sebanyak oksigen yang ada. Sesak, saya sesak.
Saya ingat saya memang sering tidur dalam keadaan separa telanjang. Tapi tetap berselimut. Kamar saya hanya ada sebuah tingkap dan saya sering tutup kerana kucing jantan liar selalui mengiau berulangkali menyebabkan saya sukar tidur. Jadi kamar ini juga panas. Selimut saya jatuhkan ke lantai. Dengan bantuan cahaya sedikit daripada luar saya lihat tangan dan tubuh saya bertukar warna. Saya sentuh perut seperti bersisik dan licin. Saya bingkas bangun dan melihat kaki saya sudah kehilangan jari. Digantikan dengan ekor, sesungut dan tangan-tangan kecil berwarna kelabu. Seperti yang telah saya mohon semalam, saya telah menjadi seekor udang. Perkara pertama saya fikir, adakah saya perlu mencari rumah baharu selepas ini? Sebuah laut tenang tak mengharungi hirukpikuk manusia dan permintaan-permintaan yang takkan dapat memuaskannya? Ataupun barangkali saya seekor udang air tawar, memerlukan sebuah sungai jernih bebas daripada obligasi dan komitmen yang mendatangkan kerisauan?
Atau walaupun saya telah menjadi udang, saya masih boleh hidup di darat seperti seorang manusia. Saya cuba untuk mengambil nafas perlahan-lahan. Walaupun sesak pada mulanya, lama-kelamaan saya semakin biasa dengan udara panas di kamar ini. Salah satu tangan saya yang licin mengambil botol air di sebelah katil, saya buka penutupnya dan menuang semua air tersebut ke atas tubuh saya. Saya melepaskan nafas lega. Bukankah ia sangat menarik menjadi seekor udang dan masih boleh hidup di darat? Sesuatu yang pasti, sebagai seorang anak borjuah. Saya sudah tentu boleh mengomel dan mengeluh dengan lebih bagus. Tentang sumpahan menjadi udang ini, tentu sekali ia boleh menjadi alasan yang kukuh untuk saya merungut tentang hidup. Namun, saya susun semula tujuan menjadi udang ini dengan baik. Iaitu untuk tidak peduli tentang halhal manusia. Hiduplah saya selama sebulan sebagai seekor udang dan hari ini setelah tubuh telah tumbuh jari dan kepala sudah berambut sambil melayan Tomboy-Hyukoh daripada playlist seorang kawan, saya sambung melakukan kerjakerja harian sebagai seorang manusia.
Comments