Cakar-cakar Fikir (10)


Saya mahu ubah kedudukan perabot lagi dalam bilik. Katil mungkin akan dialihkan jauh daripada tingkap supaya cahaya di luar tak membangunkan saya lebih awal seperti sebelum ini. Terkejut betul mendengar hujan meradang tiapkali ia memijak-mijak atap. Saya akan bangun membuka tingkap sedikit dan menutupnya semula seperti tadi pagi. Hujan jarang muncul pada waktu pagi jadi saya benar-benar terkejut. Jadi semua foto di dinding akan diturunkan. Saya ganti dengan poskad biasa yang bertulis baris-baris puisi favorit. Kakakadik saya akan tanya nanti apabila mereka pulang, tapi kerana saya sekarang telah menjadi penghuni tetap saya akan pertahankan keinginan ini. Meja belajar yang sudah rapuh ini akan ganti ruang katil supaya cahaya yang saya benci akan menyarung bukubuku atas rak. Kalau tidak saya menelaah, sekurangnya buku akan disapa siang. 

Harini saya janji untuk tak bercerita tentang mati muda lagi. Dolah ingin mati dilanggar lori, Karim mau sama-sama Plath membakar kepala dalam oven, saya? Tak maulah disumpah Soe Hok Gie untuk bernasib baik mati muda. Lebih baik menjadi malang. Aduh, kan saya sudah janji jangan bercerita tentang mati muda lagi. Saya akan muatturun semua lagu yang gembira. Tapi bukan dangdut jangan sesekali dangdut. Dalam komputer riba saya akan susun semua fail puisi dengan lebih baik mungkin. Alfabetikal atau pun ikut nombor atau pun kronologikal. Hari ini setelah bangun dari tidur, saya lipat selimut elokelok. Bukan itu satu petanda baik untuk memulakan hari? Hujan lagi. Adakah hari ini istimewa? Hujan dua kali dalam satu hari. 

Saya membaca serpihan puisi Yoko Ono semalam dan merancang untuk terjemahkannya bagi konten minggu depan di blog ini. Tapi kalau janji saya tak buat tak bagus juga. Jadi ini hanya makluman lebih kepada satu perjanjian. Ulangtayang baris daripada Karim: lupa ialah cara waktu merawat luka. Ada beberapa tulisan balasan menjadi draf dalam kepala ataupun balasan ini akan jadi simpanan peribadi buat selamanya. Tak maulah membebankan seorang kawan dengan sebaris puisi lagi. Beberapa kawan lain suka membaca blog saya, adakah saya gembira mendengarnya? Lebih kepada terharu. Saya bukan siapasiapa. Jadi, semua rancangan tentang mengubahsuai perabot bilik ini akan saya lakukan lain hari. Ini tulisan untuk menangguh kerja sedia ada, saya mengambil upah penulisan haram sebab nak cari duit tonton wayang setiap bulan. 

Syukur pada tuhan saya duduk di rumah dan sentiasa membuat rutin harian bangun pukul 10 pagi, keluarkan ikan untuk nyahbeku buat makan tengahari. Selalunya saya akan goreng sahaja, makan cicah dengan sambal kicap. Kalau saya malas masak, (selalunya saya malas masak) kami akan makan maggi. Jadi dalam seminggu boleh jadi kami makan maggi dua kali. Saya selalu skip breakfast sebab lepas subuh akan tidur semula. Abah kata: jangan ndak sarapan. jangan ndak sarapan. tidur lepas subuh kurang rezki. Jadi sebab tempat kerja abah dekat dengan DBP,  sudah dua kali saya ikut untuk ke PDM. Tentang perabot di bilik ini lagi, saya ingin mengeluarkan pendingin hawa yang sudah lama tidak pasang. Kipas bilik ini saya akan lap secara bulanan supaya tak panas. Ada dua kotak buku di atas lemari, nantilah dikemas. 

Saya harap saya akan dapat kerja cepatcepat, tapi risau juga kalau nanti saya penat sangat siapa akan kemas dan bersih ruang dapur di bawah? Saya bukanlah rajin sangat, tapi risau juga. Kelmarin secara tibatiba cermin di sebelah tingkap jatuh dan pecah, saya belum kemas lagi. Masih berderai di atas lantai. Harapharap tak terpijak. Malas saya nak cari ubat kalau terpijak. Baiklah. Saya akan sambung kerja. Mudah-mudahan saya akan sambung kerja. 

Comments

Popular Posts