Perbualan Hari Sabtu
credit: asiwillit |
Saya tak tahu kenapa saya semakin resah untuk menulis di blog ini. Boleh jadi:
- Saya dapati sudah ramai orang mula cuba-cuba membongkar rahsia di dalamnya. Saya tak pasti adakah ini satu rahmat atau celaka.
- Saya sudah semakin berhati-hati dalam berfikir perihal konten walhal sebelum ini saya tak fikir pun.
Sebenarnya saya boleh tak fikir pun. Saya mahu letak 3 atau sejuta perca rencam dan rawak dalam satu hantaran pun tiada masalah. Tapi untuk seorang yang resah seperti saya, sudah tentu saya akan fikir juga. Semalam saya tidur lewat dan pagi sabtu ini dipaksa pula pergi ke pantai, ke pantai juga sudah tentu tak menenangkan saya. Entah sejak bila saya tak menemui apa-apa ketenangan dengan menonton alam.
Di kamar ini berseorangan adalah satu anugerah, sebab saya boleh pakai T-shirt sahaja tanpa kutang ataupun saya boleh tak pakai apa-apa. Dalam kamar ini ada dua cermin, satu yang tergantung dan saya selalu rasa cantik mengadapnya, satu lagi sudah retak ke lantai, setiap hari saya cuba elak untuk tak terpijak kacakacanya. Hari ini sebenarnya, saya mahu cerita tentang perbualan saya dengan beberapa orang kawan perihal puisi. Kalau boleh saya mahu susun ia menjadi esei, tapi itulah saya malas dan suka tangguh dulu. Sekarang saya hanya mahu cerita esensinya yang asal.
Pertama, makna dan bentuk. Antara puisi favorit yang selalu saya ulangbaca adalah Derai Derai Cemara oleh Chairil Anwar. Dari cebis ingatan saya yang lemah ini, saya fikir saya mula membaca puisi itu lebih kurang ketika usia 16-17 tahun dan terus suka padanya. Pada mulanya sudah tentu saya tidak terus memahami puisi itu dan menampalnya mengikut kefahaman apa-apa. Yang saya tahu, saya suka beberapa baris seperti "sudah berapa tahun bukan kanak lagi" dan "hidup hanya menunda kekalahan". Sehingga saya selalu menyalin baris itu pada buku-buku catatan menjadi "Kata Chairil: Hidup hanya menunda kekalahan dan balasku selagi kau hidup, kau harus menang." Kemudian setelah ulangbaca lagi saya sudah mula menampalnya dengan pengalaman makna sendiri. Rasa kekosongan setelah ditolak cinta, tentang ingatan sewaktu muda, mengabdikan kematian, dan apa-apalah yang boleh selama 6 tahun ini.
Namun, setelah Karim beritahu bahwa puisi ini berbentuk seperti pantun dengan rima a-b-a-b, semua makna yang ada bergentayangan tertawa, kenapa saya tidak sedar hal ini? Betapa bodohnya saya mengaku bahwa ini puisi favorit saya tanpa peka dengan bentuknya. Saya lalu sedar bahwa ada dua benda yang akan sampai pada pembaca ketika membaca puisi iaitu makna dan bentuk mengikut acuan dan cara masing-masing. Beberapa hari lepas, Nazlie bertanya kepada saya apakah saya menilai puisi daripada sudut perkataan indah atau maksudnya. Saya jawab, makna dan bentuk perlu selaras. Makna yang literal adakala menganggu dan sudah tak bermain acahsembunyi dengan pembaca dan menjadikannya tak seronok dibaca. Tapi pula ada yang terlalu kabur dan imejnya asing sehingga kita diculik ke negeri manatah jauh dan sesat.
Tapi ini hanya satu pandangan sudah tentu. Bagi saya, makna akan sampai dahulu menyerap kepada perasaan sebelum bentuk yang bernyanyi dan berlagu. Itulah yang berlaku kepada saya ketika membaca Derai Derai Cemara. Sebenarnya makna dan bentuk juga mungkin boleh dipengaruhi dengan cara media yang menyampaikan. Maksud saya, ketika saya membaca puisi dalam kamar berseorangan dan hanya perkataan menari-nari di minda sudah tentu yang saya cari maknanya kemudian akan mengenakan rasa saya secara peribadi. Tapi keadaan tentu berubah apabila mendengar seseorang membacanya di hadapan pentas menyebut setiap huruf dan telinga kita menerima bunyi dan rima sebelum makna.
Kedua, lagi perihal bunyi. Dua minggu lepas selepas balik daripada majlis MPR, saya dan beberapa orang kawan duduk minum bercerita halhal rencam dan sastera. Lalu, Rahman berfatwa tentang kepentingan bunyi dalam puisi (penegasan keras-lembut yang dipengerahui oleh metre puisi). Kak Sayidah menambah misal, lazimnya dalam sebuah puisi cinta yang lembut temanya perlu menggunakan huruf vokal supaya bunyi yang dihasilkan bulat. Manakala, puisi yang bersifat keras pula menggunakan huruf konsonan. Rahman kata puisi Awan yang dibacanya ketika majlis MPR itu menggunakan teknik tersebut. Seperti sajak Inggeris dan Awan pasti merujuk sajak Inggeris.
Sudah tentu dengan ilmu baru ini saya tanya kepada Awan. Adakah benar-benar dia ada merujuk cara ataupun teknik sajak Inggeris paling tidak. Awan menafikan tapi berkata dia tahu hal itu. Namun tetap dia enggan mengongkong dirinya dalam menulis puisi. Awan mengaku bahwa dia membaca sajak Inggeris tanpa ingat apapun daripadanya dan menambah kata pensyarahnya bahwa boleh jadi dia menulis sedemikian kerana dia selalu mendengar muzik. Berdasarkan semua ini, saya dapati hakikatnya penyair yang banyak baca dan menghayati akan secara tak sedar menulis puisi yang lebih baik berbanding yang tak baca.
Tapi saya datangkan sebuah babak pula: bayangkan seorang penyair yang tengah sarat dengan perasaan menulis sesuatu di kertasnya, sudah tentu yang ingin disampaikan dahulu adalah sebuah perasaan dan makna. Lalu dalam alam bawah sedar penyair ini, bunyi melekat pada puisi-puisinya secara vokal, konsonan apasaja tanpa sesiapa menyuruhnya mengubah bentuk. Cuba kita semak semula sajaksajak kita yang lembut dan keras, adakah tanpa sedar pada pengetahuan ini kita menulis mengikut bunyi yang sesuai?
Jadi, selama sebulan Julai dan Ogos muda ini, saya banyak berbual perihal puisi. Harapharap yang saya ceritakan ini tepatlah (ada yang mungkin lupa dan salah fakta boleh beritahu) Sebenarnya ada beberapa lagi perbualan. Tapi itulah. Saya malas dan suka bertangguh. Mungkin saya akan buat bahagian kedua. Mungkin saya akan buat bahagian kedua 4 tahun akan datang. Mungkin tidak langsung. Suka hati sayalah nak tulis bila. Sekarang sabtu, saya pun tak kisah tentang hari cuti atau tak semua sama saja.
Comments