Yiyun Li: Menyusun Perca Memori Dalam Cerpen.

📸:alterlier

Ia seakan bergerak begitu perlahan tapi sebenarnya tidak. Momentum kisah bergerak dengan sangat sederhana dan bersesuaian. Membaca cerpen "Kindness" oleh Yiyun Li ini menyelamatkan saya masuk ke dalam jurang kebencian terhadap fiksyen (apalagi cerpen). Walaupun lazimnya tulisan yang mencecah 80 muka surat disebut sebagai novella, ketebalannya masih tak jauh bergegas menganggu bayangan saya merenung dinding dan menutup helaian. Ia melompat daripada satu memori kepada memori yang lain, kronologikal walaupun masa yang sama satu pancaran ingatan semula.

Saya boleh bayangkan seolah-olah begini, kau yang sudah tua mengemas ruang meja kerja dan secara kebetulan terjumpa sebuah foto album. Lalu membelek dan menceritakan satu persatu apa kenangan yang telah kau lalui di tiap helainya. Tapi kau yang sudah tua itu berkisah dengan penuh kejujuran seakan sama seperti keadaan fikiran dan perasaan ketika melalui memori itu. Cerpen keakuan Yiyun Li bukan semata mata membangunkan watak individualistik sebaliknya watak "aku" saling bergantung dengan pembentukan watak yang mengelilinginya secara perlahan mengikut acuan memorinya yang serba keliru dan penuh tanda tanya. 

Seolah-olah "aku" (Moyan- nama ini hanya disebut beberapa kali) sememangnya memerlukan ibunya yang terlantar di atas katil membaca novel novel cinta lalu mengajarnya erti keredhaan dan penghargaan. Ataupun ayahnya yang pendiam mengajarnya mencintai perempuan yang tak mencintainya sepenuhnya tanpa kecemburuan. Saya sudah tentu masih membayangkan Moyan yang tua di apartmennya berseorangan. Bercerita tentang ketibaan Leftenan Wei dalam mimpinya:

I never showed up in her dreams, I am certain, as people we keep in our memories rarely have a place for us in theirs.

Si garang Leftenan Wei menghulurkan sebuah persahabatan ikhlas lalu membawa Moyan ke arah penyesalan kerana menolaknya. Kedalaman emosi inilah yang selalunya terlepas pecah daripada sebuah cerpen. Sudah tentu Professor Shan teman membaca ketika Moyan belum memahami bahasa Inggeris sehingga mahir, dan dia lalu pergi kerana kekecewaan dalam percintaan. Sehingga ia dewasa dan menyambung rutin membaca seperti tak ada apa-apa. Budi baik orang orang kepada Moyan membentuk pendiriannya yang muda dan matang. Saya masih menganggap juga watak watak kecil memainkan peranannya dengan baik dalam pelanggaran budaya nasionalisme China  melalui Nan yang menyanyi lagu lagu Amerika ketika di kem tentera. 

Hairannya inilah yang tak dapat saya tangkap ketika memiliki buku ini beberapa tahun lepas. Satu kerugian besar. 

Comments

Popular Posts