Cakar-cakar Fikir (11)
Ada sebuah tingkap kaca berhadapan singki dapur, kalau senja tiba cahaya matahari di luar menceroboh masuk menyimbah ke dalamnya. Cuci pinggan sebenarnya terapi bagi saya. Saya pernah dengar tentang hal ini, bagaimana perlakuan membasuh-basah tangan membuatkan kita merasa tenang. Tingkap kaca itu pula seakan sebuah gambar, setiap hari sebelum Maghrib dan kerana sekarang musim tengkujuh sudah mau datang, langit petang di belakang rumah saya sangat cantik. Ya selalunya campuran warna jingga seakan buah nangka yang sedang masak ataupun warna ungu mungkin seakan, seakan... lebam-lebam yang saya temui di betis dan peha jua persoalan dari mana ia datang? Tentang ungu, seorang kawan katakan kepada saya bahawa saya ungu. Saya suka bayangannya itu.
Yang ingin saya ceritakan sini, kadangkala saya berada di luar, sebuah selang semesta di ruang perkebunan kecil(yang belum jadi sepenuhnya) menyiram tanah dalam pasu. Secara tiba-tiba tingkap kaca sebagai pemisah itu saya tak endahkan pun. Selama ini, sejak dari dulu lagi, saya suka menonton rumah daripada luar dan membayangkan siapa di dalamnya dan apa yang mereka lakukan. Adakah penghuninya juga sebuah keluarga yang sama seperti keluarga ini? Adakah satu-satunya masa untuk bergaduh dan bergurau hanyalah di atas meja makan petang setelah semua sudah pulang dari pejabat bekerja? Lagi pula waktu malam, kalau lampu dari jendela berwarna kuning yang saya fikir: apa perbualan mereka hari ini.
Minggu lepas saya harap adalah minggu yang paling teruk saya pernah rasa. Tak sanggup lagi melalui minggu seperti minggu lepas. Sekarang cuma cuba untuk pulih. Soalan-soalan tentang apa yang saya lakukan hari ini, adakah ia cukup produktif atau tidak seolah-olah menyeringai mengutuk saya setiap kali saya terdiam mencari-cari jawapan. Sudah tentu saya ada sebuah jawapan, tapi adakah ia berbaloi? Maksud saya untuk tahu. Minggu lepas ingatan berulang kali datang sebagai tingkap kaca lagi. Kali ini di pejabat Bangi, tingkat 3. Saya selalu membuka sebuah tingkap kaca untuk melihat langit dibalik bangunan sebelah.
Oh ya, bangunan sebelah itu masih kosong malah sebenarnya kawasan itu hampir kosong semuanya kecuali bangunan kejiranan belah kanan tempat kedai makan mamak dan kedai makan Kelantan (antara tempat lepak kegemaran). Saya akan buka tingkap untuk lihat bangunan berhadapan pejabat membayangkan berapa had kelajuan yang perlu untuk terjun dan mati. Tapi tak kisah tentang berapa tingkat cuma tentang apa yang sampai ke aspal jalan dulu, kalau kepala ya, mungkin akan lebih mudah mati tapi kalau gagal mati, akan menjadi cacat seumur hidup. Dan menyusahkan orang lain. Lalu saya menutup semula kerana menganggu pengumpulan hawa dingin.
Saya takkan mudah meminta maaf. Caranya jangan lakukan hal yang menyebabkan saya perlu minta maaf ataupun jangan minta maaf kerana saya tau saya betul. Selepas selesai untuk cuba mengabaikan mesej, ataupun setelah bermimpi lagi tentang dia, ataupun bungkam tiapkali pertanyaan "Okay tak hari ni?", ataupun sebuah kerinduan terhadap orang jauh ataupun orang dekat yang seakan tahu dan tanpa apa-apa sebab mengatakan "Kami sayang kan" ataupun malam di atas kasur menghentak-hentak dada ataupun sakit kepala lagi, panadol(lagi)... ataupun...resah dan penat.
Jadi minggu ini. Saya kena okay.
🔺Gambar: Felicia Chiao
Comments