Selang Semesta
Dua tahun telah berlalu, saya sedang berada dalam LRT malam yang juga mengejutkan kerana tak ramai orang. Saya hantar mesej kepada Siti Aniza untuk cepat-cepat berpindah ke Kuala Lumpur. Kalau dia mahu, kami akan duduk sebilik. Menjimatkan wang dan Siti Aniza boleh masak untuk saya. Boleh kurangkan makanan segera dan makanan tin. Hal ini sudah kami janjikan beberapa tahun lepas, setelah tamat pengajian. Siti Aniza pujuk saya untuk pindah ke KL dan tinggal serumah. Tapi setakat ini belum ada tanda-tanda dia mahu berpindah. Saya memujuknya lagi. Begini lebih kurang pesanannya: Niza, kalau kau pindah aku akan merokok di luar bilik saja. Betul ni. Kau kan ada asma dengan cepat penat lagi. Ataupun begini, aku akan berhenti. Betul ni. Jadi cepat-cepat pindah sebelum aku jadi gila.
Saya dah sibuk. Tak boleh lagi lepak di perpustakaan. Saya rasa terakhir sekali saya ke perpustakaan setahun lepas mungkin. Setelah putus cinta dengan kekasih, saya sibukkan diri kerja. Dengan kesibukan juga saya dah penat fikir pasal mati. Tapi kira okeylah. Sekali-sekala saya call orang rumah tanya khabar. Hantar barang-barang pesanan yang murah dibeli di sini berbanding di Sabah. Semua kawan-kawan yang duduk di KL, saya dah tak jumpa. Kami cuma berbalas tweet. Beberapa kali saya dipaksa untuk pulang. Bukan enggan. Saya malas nak menjawab soalan-soalan tipikal jodoh dan perkahwinan. Saya masih main tinder sudah tentu. Buat mengisi kesunyian hujung minggu kalau kebetulan temujanji kaunseling saya ditunda.
Pasal membaca ya, saya hanya mampu baca ebook. Buku-buku di dalam bilik sewa sedikit saja. Semua tertinggal di rumah. Menulis cuma di blog. Tidak di media lain. Oh ya, saya tulis juga jurnal setiap hari. Ini satu perubahan. Saya paksa diri menulis di jurnal walaupun pendek. Contohnya hari ini bersamaan 29/10/2021 saya tulis: seorang perempuan sedang menyembelih matahari. Itu saja. Oh ya sudah tentu saya masih tulis surat. Tapi saya tak ingat samaada saya sudah hantar atau belum. Secara senyap-senyap saya sembunyikan sehelai rambut ke dalam sampul surat. Ia mungkin akan tiba ke negeri yang jauh dan asing. Tapi saya sudah terlalu lama melupakan rasa rindu. Kalaupun ia datang, saya tentu akan keliru.
Saya sudah mengenal bau hanyir Kuala Lumpur. Kening ini pun seakan mengerti derita di dalamnya sama seperti ketika saya lihat keningnya dua tahun lepas bercerita tentang gelandangan. Saya masih menyukai kota ini. Kesibukannya. Misalnya kelmarin hujan lebat terox dan saya tak mampu menghabiskan kopi O ais mamak yang tak sedap itu. Lalu saya ke luar menyalakan rokok lagi. Tiba-tiba hujan menjadi perlahan dan belon belon gugur daripada awan. Ia terapung ke bawah-bawah-bawah. Pertama kali saya lihat orang kota mengangkat muka daripada mencakar fon dan ketawa.
🔺Gambar: asiwilit
🔺Gambar: asiwilit
Comments