Ucapan


13 Julai 2020

Selamat hari jadi! 

Kali terakhir kita bercakap, empat bulan lepas? Entah kenapa suatu malam setelah kembali bekerja di sekolah lama, aku teringatkan kau. Perasan tak memori selalu sukar dipadam apabila ia melibatkan objek. Misalnya, sapu tangan birumu. Padahal ia berlaku sudah lebih 7 tahun lalu. Tanpa fikir panjang aku hantar mesej pada pukul 2 pagi setelah namamu muncul hijau di kotak perbualan facebook. Aku tahu kau bukan di Malaysia sekarang. Tak tahu mungkin sedang pagi di sana. Ataupun setahuku kalau musim panas kau mungkin membeli asir daripada peniaga buah-buahan di bawah tempat tinggalmu. Ataupun sedang musim sejuk sekarang? Mungkin kau cuba sedayanya untuk berada di rumah saja dan berculas untuk keluar.

Hal-hal yang pertama selalu memberi kenangan yang menggeletek belakang tengkuk. Tapi tetap membuatku tersenyum. Kau minta doakan. Bukankah ingatan adalah doa? Setiapkali hari ini berlaku ia berlalu dengan ingatan yang sebenarnya ada doa tersisip dimana-mana. Pada mata yang menangkap nama atau suara bagai lalu perlahan di petikan telinga. Bercakap tentang ruang. Pernah sekali aku terbayang untuk menari dalam hujan ketika di dalam dewan peperiksaan hanya untuk segera melupakanmu. 

Selepas kau, aku ingat aku akan begitu mahir mengawal keadaan. Meluahkan. Atau merancang perjalanan. Tapi sebenarnya yang kau ajar adalah dengan cinta kita tak boleh melakukan apa-apa. Aku pernah setiap malam merenung namamu yang naik di notifikasi wechat dan mengepam dada berfikir samaada mau membalasnya ataupun tidak. Tapi kerana mungkin aku masih naif dan muda aku buat keputusan untuk bungkam saja. Kau hanya lelaki biasa. Cukup biasa untuk aku tinggalkan dan lupakan. Tapi masih, kita di sini semula. Kini, semua yang kukenal akan kata mereka belajar tentang cinta daripadaku. Kemudian semua akan pergi jua akhirnya.

Menjadi dewasa bermaksud kita akan belajar untuk malu dengan diri sendiri. Dulu aku pernah berani untuk bermimpi, keluar negeri, berumah sendiri tapi sekarang kerana malu mimpiku menjadi sederhana dan cukup makan saja. Kerja sepanjang hari kemudian cuti hujung minggu terisi dengan tidur. Kadang-kala ke pawagam menonton wayang untuk mengisi kekosongan yang kita tak tau apa dan entah beberapa waktu lagi akan dijodohkan. Kau pun nanti setelah pulang ke sini akan cari isteri solehah dan berkahwin dan beranak. Hidup cuma garis panjang yang menemukan kita dengan pintasan titik-titik. 

Tapi kau tau kan aku macam mana? Dan kau akan okey sebab aku tau kau okey. Ataupun aku akan percaya begitu. Semua bentuk akhir pada hatiku yang lebam ini mengenal patah, riuk, hancur, lecur yang datang dan akan tiba. Jadi sekali ini, biarlah. Tiba lagi segalanya akan aku sambut. Dan aku tetap menunggu.

Selamat hari jadi! 
Harap kita tak berjumpa lagi.

Comments

Popular Posts