Doa bahagia.

Semalam saya bermimpi, kita makan di McD. Walau seingat saya kita hanya pernah ke sana, sekali? Atau tidak ada barangkali? Semua kenangan saban bulan, saban tahun hilang jua kan? Kita bersama kembali, kau telah memaafkan. Tiada fikiran berat-berat, kita hanya jadi pasangan sederhana tanpa diketahui sesiapa. Kita naik ke sebuah rumah kayu, saya kata pergilah ambil wuduk, sementara saya menunggu. Kau keluar dengan dahi basah dan tersenyum. Semua baik-baik saja. 

Semakin hairan saya dengan mimpi yang tiba-tiba datang. Mungkin kita kehabisan memori untuk diingati jadi mimpi adalah projeksi yang memaksa perasaan menjadi realiti. Lalu semua tiba kembali, persoalanmu tentang penantian saya jawab dengan anggukan, mungkin jua telah kaulupakan. Kau yang sering bertanya "Kenapa diam?" dalam kereta, kesunyianku selalu membuatmu resah, kawan. Sebenarnya saya tak berani merenung matamu yang dalam dan lentiknya yang sombong. Apalah ertinya, semakin lama akan padam jua akan bersih dari segala.


📷: vgiarrano

Saya tidak menulis apa apa pun. Saya tak sibuk mana, dan doa doa sedang bergantung di pucuk bibir saya yang mudah sekali tersenyum kebelakangan ini. Sedih itu biasa, sesuatu yang biasa sehingga tiap kali ia datang saya malah terima dengan hati terbuka. Tak, saya tak bercinta atau ada sesiapa. Saya tak bergantung harap pada manusia pada janji pada memori. Kebahagiaan adalah keadaan minda yang bersyukur. Bersyukur kena melalui berbagai usaha seperti meninggalkan hal-hal penuh busuk hati, membuang dendam, jalani hidup dengan cermat, ke hospital berubat, selawat, makan berkumpul dan ketawa dengan keluarga atau menangis atau kadang kala marah. 

Kebahagiaan itu bukan semata-mata menghapus penyesalan dengan memotong ingatan yang membawa kepada berjuta "kalaulah". Tapi menerima bahawa kita menyesal tak mengatakan apa-apa, dan semua itu tidak mengapa. Kita masih penuh dengan doa. Doa adalah bahagia.




Comments

Popular Posts