Memori & Rahsia


Sewaktu sekolah rendah, saya tidak pernah ada kawan lelaki yang baik kecuali seorang. Namanya Azren. Dengan sepasang gigi kapak dia bercerita tentang kerjanya menolong bapa menjual besi buruk. 

Kalau tin susu kita kumpul banyak-banyak? Bolehlah dapat duit kan? Ya, balasnya. Nanti kita akan cairkan besi semua dalam api yang marak. Kemikkan dan jual. 

Di sekolah, budak-budak lelaki nakal suka mengacau dengan tarik tudung, mengusik nama, ditolak-pukul. Tapi saya bukan budak lemah.

Abah ajar untuk hadap mereka adalah dengan asah pensil sampai tajam dan cucuk. Sudah tentu abah cuma bergurau, kerana saya masih polos, gurauan itu disambut dengan tawa dan keengganan saya menyakiti orang.

Tapi ia adalah mekanisme. Saya tak perlu asah apa-apa untuk jadi kuat. Saya cuma perlu jadi baik. Baik dan sederhana.

Saya dan Azren berpisah selepas setahun duduk sebelah-menyebelah. Tahun depannya, saya dah berpindah ke kelas lain, kemudian ke sekolah lain. Tapi masih.

Rumah di siring jalan itu sudah reput, pakaian nya sudah lusuh dan hanya dilapisi rumput-rumput hijau dari halaman penuh semak. Simpang keluar perumahan tempat saya tinggal  berhadapan rumah Azren. 

Saya tak pasti tapi dia pernah beritahu. Sebelum ini cuma kayu, tapi setelah bertahun telah ranum, ia sekarang bercat pic. Saya ingin percaya itu masih rumahnya. 

Dalam saya mencari makna hidup, saya terbawa kepada ingatan naif ini. Kita tak perlu makna, kesedaran, epifani sekalipun. Kita cuma perlu memori. Dan melakukan hal baik selalu akan lebih melunaskan memori dengan senyuman.

Setiap perkenalan baru, kita sedang membuka rahsia. Dalam rahsia kita bawa mereka berjalan di setiap memori yang ada. 

Jadi, terimalah bahawa semua orang yang kau baru kenal juga sedang membawa ingatannya yang usang di belakang. 



Comments

Popular Posts