Selang Semesta: Sebentar ya.
Dua tahun telah berlalu, saya masih berumah di pekan suburban ini. Tapi bulan depan akan berpindah, akhirnya sudah dapat kerja tetap jadi guru. 5 tahun kontrak tapi saya tetap suka masuk ke kelas dan ketawa dengan anak-anak. Saya dah tahu murid tahu kalau mereka puji saya cantik saya akan cepat reda marah cuma masih saya pura-pura tidak tahu.
Saya dah nampak perubahan bilamana kita kurangkan gula dalam makanan. Bayangkan sebatang rokok pun dah lama saya tak nampak. Juga, saya dah ada temujanji terapi berkala. Masuk ke 27, saya jaga kesihatan dengan cermat. Ini satu hal yang menakjubkan memandangkan saya selalu bayangkan saya akan mati pada umur 27. Seakan Kurt Cobain atau Chairil gitu. Saya pernah beritahu dengan seorang rakan di sekolah menengah bahawa saya akan mati muda. Tapi kawan, saya masih di sini.
Dapat perkhabaran bekas kekasih sudah berkahwin bulan lepas. Di situ saya sedar, bahawa kita tak pernah melupakan luka. Dengan waktu sekalipun. Tapi ia melunaskan kewujudannya. Setelah lunas, perlahan-lahan ingatan menjadi tua bersama-sama kita. Setiap cinta adalah istimewa. Membawa kenangan makan naan di pantai atau menaiki seluruh stesen MRT. Setiap cinta sah dan benar.
Saya dah jumpa seseorang via internet. Berbual dengannya panjang dan kami jatuh suka. Saya dah serik hadap kegagalan dalam fasa perbualan, tapi kali ini semua okay. Apalagi yang kita harapkan daripada percintaan selain jaminan. Kali ini saya tak sempat berharap pun, semua sudah saya terima sebab hal-hal percintaan juga bermula dengan penerimaan. Hati saya penuh dan terbuka tadahan atas doa teguh seorang kekasih.
Hari ini saya sudah selesaikan tulis satu puisi. Lebih banyak saya simpan dan baca sendiri. Saya tak menulis jurnal dan tweet juga sudah semakin jarang. Tapi masih di sini. Blog yang semakin usang ini. Satu hantaran bertarikh 29/10/2023 berbunyi begini:
Seorang nelayan melanggan sebuah laut hanya untuk berehat. Ikan-ikan mengucapkan terima kasih padanya.
Sekarang saya gemar minum teh. Pekan ini saya selalu sebutkan sebagai pekan teh. Kedai bunga yang selalu saya singgah dah tutup dan berpindah. Tiada lagi bunga matahari yang tertanam di hadapan ruang pejalan kaki. Pekan semakin sesak dan motor-motor penghantaran semakin banyak. Ini seakan petanda sudah sampai masanya saya tinggalkan rumah.
Malam ini seseorang telah mengetuk tingkap. Saya jenguk keluar ada tali panjang tergantung ke atas. Jalan menuju langit. Saya berpaut padanya dan perlahan-lahan naik. Sebentar ya. Saya ingin bermain awan dan ketawa.
____
Perkataan selang semesta terjemahan daripada alternate universe. Idea menulis selang semesta ini muncul dua tahun lepas. Ketika itu saya masih stres kerana tiada kerja. Dan saya tulis hampir semua hal-hal buruk yang bakal berlaku ataupun ramalan (prophecy) selepas dua tahun. Cuma satu hal baik: pergi kaunseling. Ini saya tak lakukan.
Tapi dua tahun bergerak pantas sebenarnya. Hampir semua hal-hal buruk saya tinggalkan. Saya tak tinggal KL pun. Siti Aniza hanya berbual dengan saya sekali-sekala. Ramalan tentang putus cinta betul-betul berlaku. Saya betul lebih banyak baca ebook berbanding buku fizikal. Dan dah tinggalkan segala candu. Malah sekarang hidu bau kopi buat saya nak muntah.
Kelebihan pada tulisan ini bukan semata menyentuh hal peribadi. Tapi, membiasakan untuk menulis jutaan selang semesta yang kita boleh bayangkan dalam jutaan bentuk media lukisan, puisi dan cerita. Saya hidup dengan cerita. Ini cara saya.
Yang pertama boleh baca dibawah:
Comments