Surat Tak Terhantar (Bukti Saya Ada Hati)
Dua minggu ini saya sibuk mengubahsuai kamar dan catatan di bawah saya jumpa secara tak sengaja. Ia adalah catatan yang saya temui di buku nota (2019-2020), tulisannya berbaur diari, sebab ia memang diniatkan untuk bacaan peribadi. Ia dituliskan untuk seseorang tanpa perlu menghantarnya. Saya selalu merasakan begitu sukar membuka diri kepada orang lain. Cara saya adalah dengan berkongsi di media sosial segalanya tanpa memberitahu segalanya. Setiap hantaran adalah keresahan. Setiap igstories, status, kongsi adalah respon trauma dan mengidam validasi. Sehingga kekosongan meyakinkan saya bahawa saya tiada hati. Tapi membaca catatan di bawah, mematahkan semua sangkaan saya. Sebenarnya, saya sangat sentimental. Satu kelebihan pada diri saya yang selalu diabaikan. Sengaja dituliskan di sini sebagai bukti dan supaya saya akan selalu ingat bahawa saya ada hati.
1.
Sesuatu yang kupanggil kebetulan. Dalam ketidaktahuan adakala mimpi semalam dilupakan pada bangun besoknya. Siapa yang meletakkan kupu-kupu ke dalam rumah? Kalau kebetulan, ia juga menjadi caturan Tuhan. Dunia di luar terlalu luas dan bebas tapi si kupu-kupu memilih untuk mengibas sayapnya ke kamar ini. Mengapa?
Kau jadi banyak bicara bila berdua, mungkin kerana hanya berdua kau jadi banyak bicara. Kau, aku walaupun cuba mencari dasar & pikiran yang sama, kita sebenarnya terlalu berbeza. Itu yang kurasa. Aku menulis nota ini untuk mengingatkan, bahawa aku tidak layak bercinta. Apalagi setelah meninggalkan seseorang yang mencintaiku seadanya. Aku harap melalui perkenalan kita yang ringkas ini, kita boleh memilih bahagia masing-masing tanpa terikat antara keduanya.
_____
2.
Ia tidak begitu adil buat saya - bermula daripada perasaan cinta yang membuak dan terpecah di sebuah ruang (malah saya tidak tahu di mana) jarak barangkali - ada sesuatu tentang jarak yang ingin saya bengkokkan terus sehingga tiada. Rindukah namanya apabila saya tak ingin katakan apa-apa. Dan kamu tak membalas apa-apa via whatsapp. Mungkin saya merasakan ia tidak adil kerana saya bukan seorang yang penyabar. Kerana saya fikir terlalu dalam, dan hati saya sudah kenal erti luka, pun begitu kenapa begitu mudah ia menerimanya? Saya enggan menjadi rumah yang kosong. Yang kamu huni kemudian kau tak boleh melakukan apa-apa pun di dalamnya. Dan saya sememangnya bukan apa-apa pun. Saya tidak boleh selamatkan sesiapa, saya tidak boleh selesaikan apa-apa. Yang saya mampu cuma harapan dan doa, bahawa semua akan okay. Dan lebih seringkali semua itu juga gagal. Saya tau resah itu kelabu dan di waktu kelabu kita merasakan bahawa lebih baik diam dan bungkam untuk lebih okay. Kalau itu keputusan yang tepat buat kamu atau saya, tak mengapalah. Ia juga tidak adil kalau apa yang saya inginkan cuma baik-baik sahaja (walau harapnya begitu). Hakikatnya ada pahitnya yang perlu kita harung. Apapun keadaannya, saya cuma takut. Dan saya tau kamu juga begitu. Jadi kerana perasaan saya yang berpintal-pintal ini, saya ingin cuma katakan saya ada di sisi, kerisauan itu
__
Penafian:
- Ada beberapa bahagian tulisan di atas telah disunting (secara minimum) untuk tujuan perlindungan maklumat peribadi.
- Saya masih beranggapan media sosial adalah ruang selamat untuk ekspresi diri dan kepentingan interaksi dengan kawan dan kenalan.
📷:hayleemorice
Comments