Nota Singgah (1)



📍Kuala Lumpur

Saya tidak pasti kalau ia disebut sebagai satu kepulangan bila tiba di Kuala Lumpur. Tapi bunyi stesen, keretapi, orang-orang yang tak tau jalan, kertas-kertas tiket di ruang menunggu. Ia membuka satu muka memori yang banyak saya tuliskan dalam Sepasang Nila di Bahu. 

Saya perasan saya juga dah kehabisan tenaga berjalan seorang. Perbualan lebih seronok dengan kawan-kawan. Ruangan isolasi di waktu-waktu PKP memberi kesedaran kita hidup dengan berkawan. 

Saya tidak rasa saya sukakan KL seperti dahulu. Ia masih menanggung mimpi para petualang. Dengannya terselit harapan masih. Begitupun, segala masalah di sini terbengkalai seakan kotanya memang harus tidak pernah selesai. 

Segalanya ada di sini tanpa ada segalanya di sini. Warna masih menjadi pakaian favorit. Apalagi yang harus kita percaya selain warna?




📍Ipoh

Aneh sekali kita melihat idea tentang kedewasaan selalu bersifat linear. Sehingga kita lupa ada ruang yang belum kita pernah penuhi. Ada lagi hal-hal yang tak terlewat di ruang pengetahuan kita. 

Bayangkan begini: di satu kesempatan mengenali orang baru adalah lembaran kepada seribu kebetulan. Setiap yang mendatar adalah ketakutan. 

Kerana terlalu ke-saya-an peluang untuk mendengar dan menerima selalu menemui kegagalan. Kita akan lebih istimewa bila kita sedar bahawa kemiripan adalah pantai paling selesa untuk berlabuh. 

Biarpun kita sudah kenal beribu gelora di dalam diri sendiri.




📍 Georgetown

Seni dalam mengembara adalah berjalan kaki. Perbualan hal-hal remeh hanya untuk ketawa kerana bahagia bukan hal-hal remeh. Bercuti hanya untuk tahu bahawa orang lain sedang bekerja untukmu. 

Dari situ kau faham juga bahawa perasaan itu bermusim. Rindu yang telah kaulupakan boleh membuka semula parahnya. Jadi, di waktu yang ada kita akan selalu merasa segera. 

Bila kita sedang seronok sebenarnya kita sedang mengorbankan selera. Tapi, tak apa. Nikmat apa yang kau ingin dustai bila kau telah bekukan memori? 

Selamat dan doa, ini juga jalan menuju dewasa.

Comments

Popular Posts