Tanpa bayang.


Saya tak berniat pun. Tapi ia berlaku. Lebih mudah menyalahkan orang lain untuk terus percaya kau adalah orang baik. Kau layak untuk dapatkan yang terbaik. Bila kita telah kehilangan semua kepercayaan, apalagi baki-baki yang boleh memenuhi kamar ini? 

Perca cahaya di awal bulan selalu melirik ke arah kasurmu dan saya segera mudah basah. Hanya lagi kau kenal nila daripada bahu cintamu yang dulu. Semua huruf sedang berjoget diiringi lagu klasik. Kau akan faham juga nanti setiap usang sudah buat kuserik. 

Sekarang, saya mudah cemburu tiap elusan tangan di ombak rambutmu. Sepasang angsa hanya bercinta dengan satu pasangan dan kita manusia selalu meromantiskan memiliki banyak perempuan. Mujur, hidup hanya sekali. Kalau tidak lebih banyak kesilapan kita akan lakukan. 

Minggu lepas umi beritahu sewaktu saya di dalam perut, saya enggan keluar sehingga dipaksa untuk memilih hidup oleh doktor. Saya keluar menangis bukan kerana takut dan marah dipaksa. Tapi, kerana kelahiran saya adalah kesilapan pertama saya lakukan. 

Kenapa dengan huru-hara yang lembab ini?

Kenapa tak satupun perkataan mendekatiku?

Kenapa saya tidak makan perca-perca kelmarin 

seakan ia adalah masa depan yang penuh dengan cinta?*

Saya akan selalu bertanya kenapa lagi. Semakin tua bukankah kita sepatutnya semakin berani? Atau sebenarnya orang-orang tua sedang berlakon di sebuah pentas lama dalam panggung yang pernah terbakar. Mereka semua sedang takut untuk mencuba. Atau mereka sudah terbiasa berpura-pura. 


Korbankan segalanya, saya hanya kenal erti parah selepas mendakapi sayang. Esok, saya akan tiba dalam kamar gelap dan lebih tenang berseorangan tanpa bayang. 

————

📷: Normal People (2020)

*Terjemahan kasar puisi Alda Merini “What Unbearable Chiaroscuro”



Comments

Popular Posts