Perihal Hal

 


Minuman bertenaga berselerakan dan kau susun satu-persatu menjadi tugu di atas meja kerjamu. Ini juga bukti kelelahan bekerja. Kau terasa kosong jika tidak bekerja. Juga terasa muak dengan kerja. Tapi tidak pernah sekali kau rasa puas. Senarai main, senarai untuk buat, senarai untuk tanda, senarai untuk selia, senarai untuk bualan malah. Kau sudah lupa cara mengucapkan kata-kata. 


Dalam resmi pohon, sudah biasa buah selalu mendapat nama. Akar yang berada 3 kaki ke bawah selalu dilupakan. Kau menilai harga dirimu, dan sebagai akar kaulah asas kepada pohon. Itu rupanya tidak cukup sekadar kautahu. Kauselongkar jalan dan tersedar waktu pulang tidak pernah akan kesampaian. Kau sentiasa menggenggam sekeping tiket melalui pangkal perjalanan yang misteri. 


Bila senja perlahan-lahan tanggal dari langit. Kau berharap apa-apa sahaja boleh membawa kau ke benua jauh. Kauminum secawan ketagihan supaya sembuh daripada rompakan sejarah yang mengikatmu di sini. Kauakrabi seribu khayalan. Hidup kena penuh keanehan dan akan ada sesuatu yang baru perlu kau ketahui supaya semua pilihan menjadi relevan. Tak ada lagi sisa-sisa gelisah untuk jemu.


Kau mencari hidup di hidup orang lain. Kata-kata yang bergolek di atas lidah segera kautelan. Apalagi hendak ditelaah? Semua sudah bertulis atau berukir di sebuah dinding gua tapak warisan. Bingkai pemandangan yang kaurenung di luar adalah apa yang kau telah lihat kelmarin dan ia adalah apa yang kau bakal lihat juga lusa nanti. Tiada lagi galur yang tak pernah tak kaususuri. 

Sekarang ini kau ingin memuja sesorang. Untuk mengendurkan alis resah kehidupan. Kau ingin mencari punca benang yang memeluk pergelangan tangan. Tapi semuanya ibarat kawat berduri. Bergulat dengan kepurbaan perih. 


Kau cuma ada satu mimpi kini: mencari sinambung dalam kembara hayat ini sambil berasmara dan menjual percaya di takuk nasib. 


____

📷: Bingkai My Liberation Notes (2022)

 

Comments

Popular Posts