Sebuah Pengakuan
Orang Mongol tidak mengubur atau membakar orang bila mereka mati. Sebaliknya, mereka usung mayat itu di dalam pedati dan tinggalkan ia di suatu tempat yang mereka tidak ketahui. Nanti, mereka akan pergi ke sana untuk melihat semula mayat itu. Mereka akan berkabung sekiranya ia masih di sana. Tapi, kalau hanya berbaki tulang-tulang putih, mereka akan pulang dengan kegembiraan. Aku mula terfikir apa lagi yang ada berbaki di hatiku dalam perjalanan pulang ke kamar ini setelah aku pergi. *
Hapuskan semua. Biarkan ia berserakan. Kulit dimamah tanah. Isi perlahan ranah. Kelopongan ini. Bukan sudah menjadi rutin. Di bulanan kau meraba dada katil. Pori jadi sinki. Terpusar menyingkir pikir.
Aku ingin ini. Rasa sesuatu sini. Bukan kesunyianku. Yang kutapuk di dalam saku. Aku ingin lecun rimbun di pohon. Dan ruyup sayu tiap luruh daun. Ketap lagi jantungku, tiada siapa kautemui di situ. Selain selengkur ekor sejarah yang parah.
Kerapkali ia kembali. Kita berlari menggulung awan di pekan Georgetown atau Lipis. Menanggung tahun dari harapan tipis. Kutebus airmata jantan bekas kekasih. Jual sesupik sebelas ya dengan bersih.
Aku sama seperti semua cintaku yang dulu. Menangis terluka dengan perbuatanku. Kedinginan ini tidak lagi bermusim. Ia melapah tulang mendesak kita pulang. Tiap jeda diisi juga. Tapi reda sekali tidak.
Kini kau tolak Chairil. Konon Merdeka dari segala. Deria menggigil. Bertempikan nan semua.
_________
*Terjemahan Petikan 지상의 마지막 오랑캐 oleh Lee Young-san daripada drama siri Because This is My First Life (2017)
📷: Elesq
Comments