Tahun Lalu.

 


Jangka hayat seekor mayfly adalah selama 24 jam. Saya tertanya di sepanjang hidupnya yang singkat itu. Adakah sempat ia merasa keresahan atau tertekan? Adakah ia sempat merangka sebuah perancangan bunuh diri? Saya selalu bayangkan setiap tahun ibarat seulas bawang yang terbuka lapis demi lapis, maka siapa saja yang tidak menangis?

lihat, lihat sebuah perahu
pada hari Tahun Baru!
tak satupun bendera berkibar,
ia bertebar di layar likat
dan meninggalkan pangkalan.

Perahu itu, itu perahu
siapa di atasnya?
dipandu oleh hari baru pertama?
Mungkinkah tahun tua?
tahun lalu? Saya rasa.

terus dan terus perahu bergerak
ke tempat yang letaknya nan jauh
adakah pangkalan tahun lalu?
adakah seseorang menanti tahun lalu?

lihat, lihat itu Tahun Lalu —
Saya nampak ia pada hari Tahun Baru
menaiki perahu layar likat
bayangnya beredar jauh dan jauh ke barat.*

Ini adalah faedah menjadi tua: luka juga, sebuah ingatan yang kausuka. Selepas berapa kuku kaubuang, kau masih cuba berjuang. Kalau harini ini kauketawakan jangka hayat seekor mayfly, mengapa tidak esok kauketawakan jangka hayat dirimu yang terasa begitu panjang dengan derita.

__________
*Terjemahan kasar Tahun Lalu oleh Misuzu Kaneko



Comments

Popular Posts