Tulisan Terakhir.
"Said I would and I'll be leaving one day
Before my heart starts to burn"
Saya hanya senyap menonton malam muda perlahan-lahan merangkak di bingkai cermin kereta. Satu ingatan tiba. Di lapangan terbang saya kuatkan diri, berseorangan bukan sesuatu yang janggal. Sudah biasa. Tanah ini mungkin akan dirindui, saya lalu meja tempat kita bercerita dan mengabaikannya. Atau di kerusi tempat kita menyusun senyum dalam keping-keping foto. Semua masih ada dalam fon walau tidak dijenguk.
Satu ingatan sudah tentu akan mengusung ingatan lain pula. Dalam kapal terbang, lampu digelapkan hanya ada beberapa penumpang memasang lampu kediri samaada untuk membaca atau kerana melayani ragam anak-anak sedang menangis. Saya paksa mata untuk tidur, tapi tiapkali saya menutup mata saya akan kenang semula baris puisi, 'hatiku yang tak mau memberi' dan pipi saya semakin basah. Semakin basah. Semakin basah.
Tiada pelukan atau pujukan semacam anak-anak tadi. Malah tiada peluang untuk melayan esak. Hanya nangis dalam diam, dalam kelam.
"Times are hard when things have got no meaning
I've found a key upon the floor"
Betapa mudahnya untuk ditinggalkan. Tidak perlukan sebuah alasan untuk menjawab persoalan-persoalan. Tapi, apabila kita yang meninggalkan ia menjadi sebuah hal rumit tidak mampu ditebak. Saya kira lampu-lampu menyala di ruang merokok sebelah kiri bandara. Saya kira juga berapa puntung yang sudah selesai dibakar. Sebatang di antara dua jari ini belum masuk perhitungan. Perihal kamu, selagi masih malam, selagi itu ingatan akan bertandang. Jadi, kerana tak mau memaksa diri, saya biarkan satu-satu melewati pikiran.
Keningmu sudah tentu, tempat favorit untuk berlabuh setiapkali memori bermain-main di layar. Sunyi kali ini lebih bening. Betapa saya membenci berada di sini, dikelilingi laki-laki. Di ruang ini juga, bukan tempat kegemaran peribadi untuk perempuan seperti saya. Saya cuba untuk tidak peduli mata-mata yang merenung dan duduk di lantai, menyawakan mancis. Selepas duduk 30 minit, sudah ada dua-tiga perempuan berada di sebelah saya. Akhirnya wanita hanya percaya pada wanita. Ruang kita hanya untuk kita.
Perihal kamu lagi sekali. Saya pegang kata-kata Yoko Ono: mimpi hanya sebuah mimpi jika kauimpikannya seorang, tapi sebuah mimpi kauimpikan berdua bersama adalah realiti.
Sudah tentu, realiti bukanlah indah.
"There is one thing I can never give you
My heart will never be your home"
Malam sudah tamat. Saya naik kapal terbang kedua. Tengahari, kesedihan ini tak menyebelahi, mungkin kerana ingatan bukan hanya ada satu tapi lebih. Saya semakin lupa bahwa mimpi bermula dengan harapan akhir. Janji-janji telah dikarang menjadi bintang dan telah pamit ke angkasa menjadi debu-debu. Saya memujuk diri, bahwa tak mengapa kalau kau tinggalkan seseorang demi nasibmu sendiri.
Semua mesej telah diarkibkan. Hadiah disimpan rapi untuk dibuang nanti. Saya tahu kamu membaca tulisan-tulisan saya. Tapi semua tulisan perihal kamu telah saya padam dan ini baki-bakinya. Hanya kerana seperti nasihat Pablo Neruda: cinta itu pendek, terlupa itu pula begitu panjang. Maka, saya letakkan di kotak maya ini. Tulisan ini yang terakhir, ya Tuhan, saya berjanji bahwa ini yang terakhir.
Entah sudah berapa lama saya tidak berdoa, tapi semalam saya selitkan beberapa doa pada alis matamu dari jauh. Yang pasti kerana lebih suka bersendiri. Hati saya selamanya takkan lagi berpenghuni.
Comments
Bab nasihat last dari Pablo Neruda tu terkesan sgt. Haha. Tahniah, goodjob dan thanks!
Terima kasih 😄