Nota Singgah (2)

Ke Seoul dengan meninggalkan semua peluh kerja di lapangan hanya untuk memulakan peluh kerja orang lain atas percutian kita. Itulah apa yang saya fikirkan setiba di negara ini. Musim dingin hanyalah satu sumpahan yang memukul mereka. Peringatan bahawa ia akan lebih teruk dengan selang berita kemalangan dan amaran-amaran yang disirenkan di telefon bimbit. 

Tolak tepi semua kita juga jadi kagum melihat salju yang gugur di hadapan mata buat pertama kali. Katanya, salju di sini juga jarang datang. Maka kita akan lihat kanak-kanak bergembira dengan acuan ais itik merata-rata. Pohon-pohon telanjang dan terlalu sejuk untuk melambai hanya  daun hangit baki-baki musim luruh. Ia adalah dua sisi syiling yang kauhumban ke atas dan sedang perlahan jatuh memapar nasibmu. 

Perlahan kaulihat negara ini ditelan dunia kapitalnya. Sejak sekolah ditekan untuk punya wang sendiri. Maka, kerja-kerja separuh masa tumbuh merata mengaburi nikmat kemudaanmu. Kau segera dewasa seperti bandar yang serba pantas ini. Semua mengejar ketuaan kerana itulah kebahagiaan. Setelah dicantas usia, kau sekarang berkedut tapi tak satupun kusut perlu kau hadapi. Menelan pencen, berjalan di taman, minum pagi dengan semangkuk kimchi. 

Di sini tanggungjawab sucimu lebih kuat cabarannya. Segala kotak yang terbentuk daripada agama dan percaya di kepalamu renyuk. Dan kau redha bahwa Tuhan itu luas rahmahnya. Ruangan bersih untuk tunduk adalah satu kenikmatan yang kau pandang remeh di rumah. Kau belajar bahwa tanda bukanlah apa-apa akhirnya. Ia muncul selepas hidup dan hidup muncul selepas ia. 

Menjadi pelancong juga membawa desakan membeli. Atau kau hanya melawat untuk menangkap gambar penuh suntingan sebelum dimuatnaik ke laman ig. Itulah beban yang kaubawa ketika merantau. Sampai kau terlupa untuk belajar dan bertanya perihal budaya dan sejarah. Sedangkan Korea merangkul kedalaman deritanya yang membentuk kemajuannya kini. Semua tenggelam sebalik K-pop, “oppa-oppa” dan piawaian kecantikan yang menyindir hidung pesekmu.

Dingin dalam keramaian. Orang-orang, warna dan budaya yang wujud bersamanya. Bergembira sambil melihat nasib orang dijaja. Saya menyarung hanbok merah jambu, bersolek dan ketawa. Keindahan bangunan dan suasana dapat dinikmati kesan lipatan sejarah yang tebal. Masing-masing memiliki warna mereka sendiri. Dan masing-masing memilih jalan mereka sendiri. 

Cuaca ini memaksa diriku memenuhi sunyi dan terus lapar walau cuma satu lagi pelukan. Barisan hanok dengan kedai-kedai jajan hangat seakan memujuk kebekuan jiwa. Saya pulang membawa rindu dari pilu rantauan. Inilah. Dan apa-apa selepasnya.

Comments

Popular Posts